Kira-kira 10,000 petani dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kelantan, mengalami kerugian RM150 juta ekoran kemerosotan pengeluaran padi kira-kira 120,000 tan metrik pada musim tanaman tahun ini akibat kemarau.
  
Pengerusi KADA, Tan Sri Annuar Musa berkata tiga rumah pam untuk mengalirkan air ke sawah tidak berfungsi kerana air sungai Kelantan yang menjadi sumber utama berada pada paras kritikal.
  
"Kemerosotan paras air sungai di Kelantan dipercayai berpunca daripada sistem ekologi yang terancam akibat penebangan kawasan balak di kawasan Hulu Kelantan dan pengambilan pasir sungai yang tidak terkawal untuk pembangunan," katanya kepada pemberita selepas melawat Rumah Pam Utama Kemubu, dekat Machang hari ini.
  
Annuar berkata mengikut bacaan paras air di pam utama KADA di Kemubu kini berada pada tahap 4.90 meter, Rumah Pam Lemal (0.7m) dan Rumah Pam Kasar (1.3m).

Katanya, kawasan yang terlibat ialah 8,307 hektar sawah di jajahan Kota Baharu, Pasir Mas (6,527 hektar) dan Bachok (5,706) hektar).
  
Annuar berkata beliau akan meminta kerajaan pusat dan kerajaan negeri mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu.
  
Menurutnya, setakat ini hanya 4,566 hektar atau 2.1 peratus daripada keseluruhan sawah di kawasan KADA telah selesai ditanam padi.
  
Beliau berkata, KADA telah membelanjakan berjuta ringgit untuk membolehkan petani mendapatkan sumber air sungai melalui rumah pam tetapi tidak berhasil kerana masalah paras air sungai Kelantan itu. 
- Bernama