Kumpulan Syiah Malaysia menyelar tindakan pelbagai pihak terus menghentam fahaman itu menggunakan hujah yang tersasar dan tidak masuk akal, kata jurucakapnya Mohd Kamilzuhairi Abd Aziz.

Hujah itu, kata Kamilzuhairi (bawah), antaranya mendakwa Syiah membenarkan semua solat dijamak dan menanggap tuhan bersifat jahil, seperti ditimbulkan Ketua Unit Kajian Gerakan Syiah, Ikatan Muslim Malaysia (ISMA) Mohamad Ismail.

NONE"Mohamad Ismail mendakwa Syiah menganggap tuhan itu jahil. Ini benda yang bukan Islam sendiri takkan buat kenyataan sebegitu, satu benda yang tak masuk akal.

"(Jika benar) itu sudah jatuh kufur," katanya sambil mendakwa mendengar perkara itu daripada mulut Mohamad sendiri dalam ceramah di Gombak pada Jumaat lalu.

Beliau mengulas liputan khas lima halaman dalam harian berbahasa Melayu Sinar Harian hari ini berhubung mazhab Syiah yang didakwa berkembang secara senyap-senyap walaupun tidak dibenar disebarkan.

Akhbar itu antaranya turut memetik Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya sebagai menyifatkan Syiah sebagai "agama politik" dan mendakwa "demonstrasi pertama dalam Islam berasaskan ideologi Syiah".

Selain itu, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi turut dipetik sebagai berkata "konflik Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah lebih rumit daripada konflik Umno dengan PAS".

Liputan meluas sejak minggu lalu

Ditanya tentang motif laporan intensif itu (bawah), Kamilzuhairi berkata beliau kurang pasti namun menyedari liputan meluas anti mazhab itu bermula sejak hujung minggu lepas lagi.

Sementara itu Kamilzuhairi terus mempertikaikan kewibawaan Mohamad yang digambarkan berlebih-lebih memburukkan ajaran Syiah, antaranya dengan mendakwa mereka menggunakan al-Quran yang berbeza.

NONE"Saya sendiri duduk di Iran selama lapan tahun, satu Quran lain pun saya tidak pernah tengok," katanya merujuk kepada kenyataan Mohamad yang didakwa dibuat sebelum ini.

Menurutnya, kekeliruan berkenaan mungkin timbul kerana Syiah mempunyai banyak kitab-kitab doa yang turut dijadikan rujukan.

Mengulas dakwaan berkaitan 'agama politik', beliau berkata sebagai salah satu mazhab dalam Islam, Syiah pastinya turut mencakupi elemen politik, akidah, fikah, sastera dan juga seni yang menjadikan Islam itu agama yang lengkap.

Katanya lagi, tanggapan itu mungkin juga timbul kerana amalan pengikut mazhab Syiah yang berkabung secara terbuka pada bulan Muharram bagi mengingati kematian cucu Nabi Muhammad SAW, Sayidina Hussin bin Ali.

"Apa yang berlaku adalah melahirkan kesedihan terhadap perkara yang berlaku kepada cucu Nabi," katanya.

Isu konflik di Syiah-Sunni juga tidak timbul kerana pengikut Syiah di negara ini menganggap pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai 'adik-beradik', katanya.