Sabtu, 26 Mei 2012

PRU: SPR mahu Pakatan timbang kos, masa

G MANIMARAN & NORSHAHZURA MAT ZUKI

PRU: Pakatan digesa timbang faktor masa, kos
 
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar
 
 
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di negeri masing-masing serentak jika Parlimen dibubarkan dengan mengambil kira faktor masa dan kos.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, selain faktor kos, pihaknya berharap kesemua empat negeri akan berbuat demikian atas pertimbangan masa iaitu mandat pemerintahan masing-masing akan berakhir antara April dan Mei tahun depan.

“Kita harap begitu, tolonganlah ingatkan wang rakyat  jika terpaksa jalankan pilihan raya berbeza… tempoh tidak lama kalau pilihan raya berlaku, kebanyakan Dewan Undangan Negeri (Dun), pada April 2013 akan tamat, beberapa bulan sahaja, di negeri Selangor RM30 juta untuk adakan pilihan raya baru. Pulau Pinang RM20 juta, bergantung kepada pengundi Selangor ada dua juta pengundi dan masih ada 600,000 belum daftar,” kata beliau dalam temu bual bersama Sinar Harian dan Sinar Harian Online.

Wan Ahmad berkata, bajet pilihan raya bergantung kepada jumlah pengundi di sesebuah negeri, selain pusat saluran, pusat pengundi, petugas dan peralatan pilihan raya.

“Elaun petugas meningkat 100 peratus, petugas tak nak kerja elaun kecil dan tertekan takut,” katanya lagi sambil menambah, “jika pilihan raya berasingan, buat dua kali benda sama, petugas sama , tutup sekolah dua kali, taklimat sekali, polis bekerja dua kali,” katanya.

[BAHAGIAN PERTAMA WAWANCARA - PRU13: SPR sedia 99.9% akhir Jun]
[BERITA BERKAITAN- 'Rakyat menanti tarikh PRU13']

Kebanyakan negeri pimpinan PR dijangka mengadakan pilihan raya berasingan jika Kerajaan Pusat membubarkan Parlimen lebih awal, disebut-sebut bulan depan.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak akan menyertai pilihan raya umum serentak jika Parlimen dibubarkan lebih awal - sebelum Julai ini - atas alasan memerlukan masa untuk melaksanakan program dirangka kerajaan negeri itu.

Baru-baru ini, PR juga menegaskan Kerajaan Negeri Selangor tidak akan membubarkan Dun jika daftar pemilih, yang didakwa diragui, tidak dibersihkan.

Dalam satu kenyataan  pada 16 Mei lalu, Khalid enggan mendedahkan sama ada Selangor akan menyertai PRU13 bersama jika Kerajaan Pusat membubarkan Parlimen awal.

Khalid berkata, langkah itu salah satu strategi politik seperti digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang masih merahsiakan tarikh sebenar PRU13.

“Pilihan raya negeri ini pasti diadakan, namun sama ada dilakukan bersama Kerajaan Pusat atau tidak, terpulang kepada pihak kami untuk menentukan keputusan tersebut.

“Strategi ini sama seperti tindakan Perdana Menteri untuk tidak menghebahkan tarikh pilihan raya, oleh yang demikian apabila tiba masanya nanti, kita akan umumkan,” kata Khalid.

Ketika ditanya sama ada SPR akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan-kerajaan negeri PR berhubung isu agar diadakan PRU serentak, Wan Ahmad berkata, pertemuan sedemikian tidak perlu.

“Tidak perlu berjumpa, itu hak mereka, hak kerajaan negeri masing-masing ikut perlembagaan (negeri) mereka.

“Mereka tahu apa buruk dan implikasi kerana pakar dalam pilihan raya. Bukan orang baru… setengah pemimpin parti 30 tahun dalam politik, mereka tahu buruk baik dan implikasi dan sebagainya yang mereka lakukan cakap, cuba laksanakan politik,” katanya.

Ditanya langkah SPR jika negeri-negeri PR memutuskan untuk mengadakan PRU awal, Wan Ahmad dengan berseloroh bertanya “boleh berlaku?”

Beliau seterusnya menjawab, pihaknya akan meneliti jika keadaan itu berlaku kelak.

Bagaimanapun katanya, undang-undang tidak menghalang mana-mana negeri daripada berbuat demikian.

“Undang-undang tidak menghalang. Bila tiba masanya, kita akan lihat. Kami akan menyeberang apabila tiba di jambatan. Saya tidak dengar (kemungkinan itu), saya tidak pernah dengar ungkapan macam itu, tetapi undang-undang tidak menghalang, tiba masanya barulah SPR akan komen,” kata Wan Ahmad.

Wan Ahmad juga berkata, perkara itu tidak disentuh ketika rombongan Kerajaan Negeri Selangor mengadakan pertemuan dengan SPR bulan lalu.

Tiada ulasan: