Selasa, 22 Mei 2012

Bapa tikam anak sendiri

AZIZAN INCHE HARUN

JOHOR BAHRU – Hanya berselisih faham dengan anak yang meminta bapanya mengalihkan kereta di tempat meletak kereta milik jiran, seorang bapa tergamak menikam anak sendiri.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam semalam, di kawasan perumahan Taman Dahlia Tampoi di sini, mangsa, Muhammad Afiq, 22, cedera di bahagian belakang atas pinggang.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, suspek Zainuddin Hassan, 48, telah menikam anak sendiri dengan menggunakan sebilah pisau.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan telah dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Siasatan awal mendapati suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

“Suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata merbahaya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tiada ulasan: