Jumaat, 2 Disember 2011

RUU Perhimpunan Aman: Tangguh bahas di Senat, MCCBCHST gesa Najib


KUALA LUMPUR— Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011, diluluskan Selasa lalu di sebalik kontroversi dan bantahan, bercanggah dengan kebebasan berhimpun dan beragama dan tidak wajar dibawa ke Dewan Negara, tegas Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST).

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, majlis tersebut menegaskan peruntukan-peruntukan perundangan baru ini juga bercanggah dengan hak-hak diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Rang undang-undang yang disyorkan ini dengan jelas memberi polis dan Menteri Dalam Negeri lebih banyak kuasa dan bertujuan untuk mengekang ruang demokratik,” kata kenyataan MCCBCHST yang ditandatangani Presidennya Daozhang Tan Hoe Chieow, timbalan Sardar Jagir Singh, tiga naib presiden Venerable Sing Kan, Rev Dr Thomas Philips dan Mohan Shan dan Setiausaha Agung Prematilaka KD Serisena.

Dalam kenyataan itu, keenam-enam pemimpin menegaskan, majlis tersebut risau kerana peruntukan rang undang-undang terbaru ini menggariskan tempat-tempat perhimpunan awam tidak boleh diadakan termask pekarangan rumah ibadat, hospital, stesen kereta api, terminal pengangkutan awam, tadika dan sekolah.

“Peruntukan yang dicadangkan dalam rang undang-undang ini bercanggah dengan semangat Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama,” kata kenyataan mereka.

Tambah mereka, majlis juga menentang Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 kerana ia mengelirukan orang ramai yang tidak mengetahui sifat peruntukannya, yang antara lain mengharamkan kesemua bentuk demonstrasi termasuk perarakan aman kecuali ia mendapat kelulusan polis.

“Notis makluman 10 hari juga terlalu lama. Ia tidak mengiktiraf hak mengadakan perhimpunan dengan segera apabila wujud isu-isu penting dan terdesak,” katanya lagi.

“Pengguguran syarat mendapatkan permit polis tidak benar kerana perhimpunan tidak boleh diteruskan jika polis membantah,” kata kepimpinan majlis itu lagi.

“Mengenai pemakluman perhimpunan disyorkan, polis akan membalas dalam tempoh 10 hari dengan mengenakan syarat termasuk sama ada boleh diteruskan atau tidak.

“Oleh itu perhimpunan masih tertakluk kepada kelulusan polis,” kata mereka.

Kenyataan mereka menambah, jika polis enggan memberi kebenaran, maka rayuan perlu dikemukakan kepada Menteri Dalam Negeri.

“Ini tidak boleh diterima. Rayuan sepatutnya dibuat di mahkamah,” kata beliau.

Sambil menegaskan bahawa rang undang-undang ini menunjukkan Malaysia ketinggalan di belakang Myanmar, kepimpinan MCCBCHST menggesa kerajaan mendengar bantahan-bantahan yang dikemukakan.

“Kami sangat berharap ia tidak diluluskan dengan tergesa-gesa di Dewan Negara kita,” katanya.

Tiada ulasan: