Khamis, 8 Disember 2011

PRU-13: Lembaga Disiplin Umno turun padang elak ahli sabotaj

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Lembaga Disiplin Umno sedia turun padang bagi membuat tinjauan di kawasan pilihan raya sebelum dan semasa pilihan raya umum ke-13 diadakan bagi memastikan anggota parti mematuhi disiplin yang ditetapkan.

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Malaysia Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, pihak lembaga akan membuat siasatan ke atas mana-mana aduan atau perbuatan salah laku anggota parti.

Katanya, tindakan sewajarnya akan diambil bagi mana-mana anggota parti yang melanggar Perlembagaan Umno dan tataetika anggota Umno semasa pilihan raya.

“Lembaga Disiplin khususnya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana anggota yang melakukan sabotaj parti sehingga boleh menafikan kemenangan calon parti yang dipilih pucuk pimpinan parti,” kata beliau dipetik Bernama Online.

Beliau berkata, sehubungan sumbangan dan kerjasama anggota Umno dalam membuat aduan amatlah dialu-alukan serta maklumat yang tepat akan memudahkan lagi Lembaga Disiplin menjalankan tugas dengan cekap dan berhemah.

Tengku Ahmad Rithauddeen mengulas ucapan penggulungan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perhimpunan Agung Umno Ke-62 baru-baru ini yang mencadangkan supaya Lembaga Disiplin parti membuat pemantauan semasa pilihan raya umum nanti.

Muhyiddin berkata Presiden parti Datuk Seri Najib Razak bersetuju dengan cadangan perwakilan yang meminta anggota Lembaga Disiplin membuat pemantauan sebelum dan semasa pilihan raya untuk memastikan tiada anggota melanggar disiplin parti semasa pilihan raya.

Beliau berkata pada pilihan raya umum 2008 terdapat 22 kes dari enam negeri dibawa ke Lembaga Disiplin parti dan daripada jumlah itu tiga anggota dipecat manakala enam orang digantung keanggotaan selama tiga tahun.

Katanya seorang lagi diberi amaran keras kerana melanggar disiplin parti manakala 12 lagi anggota tidak dikenakan tindakan kerana tidak mempunyai bukti kukuh.

Tiada ulasan: