Sabtu, 24 Disember 2011

Peneroka Asal Kg Seri Aman Diberi Geran Tanah

Oleh Mohd Ezli Mashut


SHAH ALAM : Seramai 111 peneroka asal Kampung Seri Aman, Ijok, akan menerima geran tanah yang dikeluarkan Kerajaan Negeri Selangor selepas majoriti peneroka ini menolak cadangan pembangunan semula yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri.


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pemberimilikan tanah ini akan dibuat berdasarkan susun atur yang mengambil kira keperluan tapak untuk pembinaan jalan, longkang , rumah ibadat dan kemudahan lain dan selepas selesai dijalankan penyusunan semula senarai pemohon yang tinggal di atas tanah milik pemohon lain.

Katanya, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) akan menyediakan pelan yang telah diukur yang mana kosnya ditanggung oleh Kerajaan Negeri Selangor.

"Apabila semua peneroka terlibat bersetuju dengan pelan susun atur, notis 5A akan dikeluarkan kepada mereka yang berhak. Geran tanah kemudiannya akan dikeluarkan selepas peneroka membayar premium tanah sebanyak RM1,000," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan peneroka terlibat di pejabat Majlis Daerah Kuala Selangor di sini.

Kesemua 111 peneroka ini akan menerima tanah seluas 4,000 kaki persegi yang bernilai RM5 sekaki persegi. Peneroka yang layak tetapi tidak mahu tinggal di atas tanah tersebut, Kerajaan Negeri akan membelinya dengan harga RM20,000.

Untuk mengelakkan spekulasi penjualan tanah serta melindungi hak peneroka, Kerajaan Negeri akan mengenakan sekatan yang mana peneroka yang diberi geran tanah tidak boleh menjual tanah tersebut dalam tempoh tiga tahun.

"Jika kesemua 111 peneroka bersetuju untuk menerima tawaran ini, Notis 5A akan dikeluarkan pada minggu kedua Januari hadapan," katanya lagi.

Bagi mereka yang tidak tersenarai pula, boleh membelinya dengan harga RM20,000 tetapi perlu membuat permohonan kepada Pejabat Tanah Kuala Selangor.

"Wang ini akan digunakan untuk membaiki infrastruktur seperti longkang bagi mengelak berlakunya banjir dan membina kemudahan asas seperti jalan dan lampu," kata Menteri Besar.

Beliau juga mengarahkah Pejabat Daerah untuk mengedarkan risalah penerangan dalam Bahasa Melayu dan Tamil agar mereka benar-benar memahami tawaran sebelum membuat keputusan.

Masalah berlanjutan yang terpaksa ditanggung oleh penduduk Kg Seri Aman ini berpunca daripada keputusan berubah-ubah pentadbiran Kerajaan Negeri yang terdahulu. Antara 2001 hingga 2007, Kerajaan Negeri terdahulu telah menukar pendirian sebanyak empat kali dalam membuat keputusan berhubung pembangunan tanah lot itu.

Pada 16 Januari 2001, Kerajaan Negeri telah meluluskan Cadangan Pembangunan Secara Penswastaan di atas tanah tersebut kepada Westmine Development Sdn Bhd (Westmine) tetapi keputusan itu ditarik balik pada 26 Oktober 2005.

Tetapi pada 18 Oktober 2006, Kerajaan Negeri mengubah keputusan dengan membenarkan Westmine meneruskan kerja tetapi pada 2007, Kerajaan Negeri sekali lagi mengubah keputusan dengan membatalkan projek pembangunan penswastaan kepada Westmine sebaliknya meluluskan pemberimilikan tanah kepada pemohon di kawasan tersebut.

Bagaimanpun, notis 5A untuk pemilikan tanah tidak dikeluarkan kepada mereka.

Akibatnya, Westmine telah menfailkan saman terhadap Kerajaan Negeri pada 15 Julai 2008. Dalam tempoh ini. Kerajaan Negeri tidak boleh meneruskan pembangunan tanah atau mengeluarkan geran tanah tanah kepada peneroka.

Selepas, mahkamah telah membuat keputusan berpihak kepada Kerajaan Negeri, barulah kerajaan negeri dapat membuat keputusan tentang status tanah di kampung tersebut.

Tiada ulasan: