Sabtu, 24 Disember 2011

Negara Berkebajikan: Hasan Mohon Maaf

Oleh Afeeqa Afeera


KUALA LUMPUR : Datuk Dr Hasan Mohamed Ali hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka kepada saf pimpinan dan ahli-ahli parti PAS berhubung keterlanjuran beliau semasa membuat ulasan berkenaan 'Negara Berkebajikan' pada 20 Disember lalu.

Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu menarik balik kenyataannya sebelum ini yang mengatakan bahawa konsep 'Negara Berkebajikan' itu adalah tersasar daripada matlamat perjuangan parti.

"Sebagai ahli PAS dan ahli jawatankuasa PAS Pusat, saya mengakui terdapat unsur keterlanjuran saya sewaktu membuat ulasan terhadap perkara itu.

Dengan ini, saya menarik balik komen saya mengenai 'Negara Berkebajikan' tersebut dan memohon maaf kepada saf kepimpinan dan ahli-ahli parti terhadap keterlanjuran saya itu," kata Dr Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia.

Sebelum ini, Dr Hasan pernah membuat kenyataan menolak konsep Negara Berkebajikan dan mendesak parti itu kembali kepada matlamat asal untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

Tindakan itu bagaimanapun dibantah kepimpinan tertinggi parti termasuk Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyifatkan dakwaan itu tidak berasas.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya sebelum ini menegaskan 'Negara Berkebajikan' diputuskan semasa Muktamar tahunan PAS dan disahkan oleh Majlis Syura Ulama.

"Memandangkan perkara ini telah diputuskan dalam muktamar PAS, saya sebagai ahli bersetuju dengan apa yang dikemukakan dan ingin menyuarakan pendapat bahawa kemungkinan konteks pengisian Negara Berkebajikan sama seperti negara Islam yang dikemukakan parti sebelum ini," katanya.

Dalam sidang media sama, Dr Hasan turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali bahawa beliau ada mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak Umno.

Mustafa sebelum ini mendakwa beliau mempunyai bukti untuk mengaitkan Dr Hasan dengan agenda Umno.

Tiada ulasan: