Sabtu, 24 Disember 2011

PAS: Solat Jumaat di dua masjid dalam satu mukim angkara Umno

Apabila orang Umno gagal menguasai masjid, mereka mendesak supaya membina masjid sendiri.



PETALING JAYA: Solat Jumaat di dua masjid dalam satu mukim yang masih berlaku di Terengganu angkara Umno, dakwa Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Saiful Bahri Mamat.

Beliau mendakwa, apabila orang Umno gagal menguasai masjid, mereka mendesak supaya membina masjid sendiri.

“Ini berlaku di Kampung Pinang Merah, Kampung Nyior dan Kampung Tebing Tembah – semuanya di daerah Dungun,” katanya.

Beliau mengulas titah Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang kecewa kerana masih berlaku solat Jumaat di dua masjid dalam satu mukim di Terengganu.

Dilaporkan ada 11 masjid di Marang, Setiu dan Besut masih melakukan dua solat Jumaat dalam satu mukim berbanding 23 masjid sebelum ini.
Saiful juga mendakwa pemimpin Umno sendiri memulau masjid-masjid semasa pemerintahan PAS di Terengganu dari 1999 hingga 2004.

Juga berlaku di Felda

Katanya, ini berlaku kepada masjid Sura Lama dalam DUN Paka.

“Masjid yang dibina dan dikuasai oleh orang-orang PAS itu menimbulkan rasa tidak puas-hati pimpinan Umno-BN . Mereka berusaha supaya masjid itu ditutup dan dibina masjid Sura Baru hanya beberapa ratus meter daripada masjid Sura Lama.

“Hasrat sebenarnya ialah orang Umno tidak bersedia bersembahyang di masjid yang dibina oleh orang PAS,” tambahnya.

Saiful mendakwa perkara serupa juga berlaku di Felda Kerteh 2 dan Kerteh 3.

Dakwanya, masjid baru dibina walaupun kedudukan masjid tu sejengkal sahaja tetapi ia tidak menjadi isu kerana kawasan ramai penyokong Umno dan ianya satu projek untuk Umno.

Tiada ulasan: