Kajian UM menunjukkan persepsi pengundi di Perak terhadap kerajaan BN berada pada tahap yang tidak membanggakan.
PETALING JAYA: Kira-kira 45 peratus rakyat Perak merasakan Barisan Nasional (BN) masih gagal menunjukkan prestasi yang baik walaupun sudah lebih 50 tahun memerintah.
Demikian menurut Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman dalam hasil kajian soal selidiknya secara rawak terhadap 1,304 responden rakyat Perak pada 23 Oktober hingga 30 Oktober lalu.
Berdasarkan kaji selidik itu, 61 peratus kaum Cina dan 45 peratus Melayu berpendapat sedemikian. Namun 40 peratus responden daripada kaum India masih menaruh kepercayaan terhadap BN.
Soal selidik itu juga mendapati 40 peratus responden berpendapat pendekatan 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak gagal meningkatkan sokongan rakyat Perak terhadap BN. 38 peratus pula setuju, dan 22 peratus daripadanya tidak pasti.
Begitu juga dengan Bajet 2012 apabila 44 peratus daripadanya merasakan peruntukan itu tidak mampu mengurangkan beban kos sara hidup mereka, manakala hanya 23 daripadanya bersetuju, dan selebihnya tidak pasti.
Majoriti 86 peratus responden sudah pun membuat keputusan untuk mengundi semasa Pilihan Raya Umum 13 (PRU13), dan merasakan PAS mampu menjadi parti alternatif Umno dalam menjaga kepentingan Melayu di Perak.
Walau bagaimanapun kajian berdasarkan etnik menunjukkan 73 peratus responden Cina menolak perjuangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud, namun 64 peratus kaum Melayu berpendapat sebaliknya, dan turut disokong majoriti 35 peratus kaum India.
Ini kerana majoriti 52 peratus berpendapat faktor utama yang akan mempengaruhi mereka ketika mengundi semasa PRU13 adalah parti, dan bukannya calon apabila hanya 43 peratus sahaja yang menyokong kriteria itu.
Sementara itu, 48 peratus daripada 149 responden kaum Cina di Perak menyatakan sokongannya terhadap Pakatan Rakyat dan hanya 22 peratus sahaja menyokong BN.
Ini kerana hanya dua peratus daripada mereka berpendapat prestasi Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berada dalam keadaan amat baik berbanding majoriti 53 peratus yang merasakan pentadbiran Zambry hanya ditahap sederhana sahaja.
Namun berlainan pula bagi 1,108 responden Melayu apabila 56 peratus daripadanya masih menyokong BN, manakala Pakatan hanya mendapat sokongan 12 peratus, dan 32 peratus yang lain masih tidak pasti.
Majoriti tidak percaya video seks ‘Anwar’
Sementara itu, ditanya tentang video seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, majoriti 46 peratus daripada responden tidak mempercayainya, jauh berbeza apabila hanya 18 peratus sahaja yang mempercayainya, manakala 36 peratus tidak pasti.
Malah majoriti 41 peratus responden juga percaya pendedahan video seks itu tidak akan mampu menjejaskan kredibiliti Anwar, 34 peratus setuju, dan yang lain tidak pasti.
“Kajian kepercayaan responden terhadap media arus perdana dalam membuat liputan tentang politik juga berada ditahap yang rendah,” kata Pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial itu.
UMCEDEL, ditubuhkan sejak April 2010, sebelum ini telah melakukan beberapa kaji selidik, antaranya Persepsi Masyarakat Terhadap Islam Hadhari dan Kesannya kepada PRU12, Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh Ogos 2008, Isu dan Pola Pengundian Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu 2009, serta Persepsi Masyarakat Terhadap Parti dan Kepimpinan PKR 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan