Ahad, 25 Disember 2011

Negara Berkebajikan: Mengada betul Umno

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Isu Negara Berkebajikan sering dijadikan turning point untuk menyerang PAS kononnya PAS telah tersasar dari landasan perjuangan asal iaitu Negara Islam.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan at-Tantawi berkata, lalu Umno mendesak supaya PAS kembali menggunakan istilah Negara Islam bukannya Negara Berkebajikan.

Lebih menarik, katanya Umno juga menyatakan demikian sedang Umnolah antara yang paling kuat menentang hasrat PAS sewaktu PAS menggunakan istilah Negara Islam sebelum ini.

“Sekarang apabila PAS menggunakan istilah Negara Berkebajikan, mereka sibuk pula mendesak supaya PAS tukar kembali kepada istilah Negara Islam. Mengada-ngada betullah mereka ni!” kata kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa langkah dan usaha PAS Membangun Negara Berkebajikan adalah merupakan Fasa 2 pembinaan Negara Islam.

Tambahnya, setelah PAS menerbitkan dokumen Negara Islam tempoh lalu, maka ia seperti pelan induk bagi PAS menjayakan hasrat mendaulatkan syariat Allah SWT, itulah Fasa 1 projek PAS.

Beliau berkata, Fasa ke 2, PAS bergerak dengan lebih praktikal, bukan sahaja membentang plan induk (Fasa 1) yang lengkap dengan teorinya, kini PAS tampil dengan Negara Berkebajikan sebagai subtance kepada Negara Islam.

Jelasnya lagi, ia adalah pengisian dan perlaksanaan, sekaligus menjawab pelbagai tohmahan kononnya Negara Islam adalah negara hukum semata-mata atau juga ditohmah sebagai negara mullah.

“Negara Islam ialah negara yang dibina berasaskan bimbingan syariat Islam. Sementara elemen utama dalam Syariat Islam ialah adil, telus, integriti dan amanah selain ubudiyyah (pengabdian diri kepada Allah),” katanya.

Katanya, ia menepati pembentukan good governence yang menjadi sendi utama bagi Negara Berkebajikan yang mahu dibangunkan oleh PAS.

Menurutnya, menganggap PAS telah tersasar dari landasan asal perjuangannya adalah berpunca dari salah faham atau buat-buat tidak faham terhadap matlamat dan objektif perjuangan PAS.

Justeru, ujar beliau selayaknya mereka terlebih dahulu membuka dan melihat Pelan Lengkap Projek PAS bagi memahami keseluruhan fasa yang akan dibina oleh arkitek PAS.

“Negara Berkebajikan bukan krisis identiti tetapi ia adalah pengukuhan identiti.

“Justeru ia memantapkan lagi pengenalan dan jati diri PAS dengan usaha bina dan tawaran yang lebih praktikal, mudah dan boleh laksana,” jelasnya.

Tiada ulasan: