Ahad, 4 Disember 2011

Meracau dengan dosa sendiri

.Oleh Muhammad Zir

Keresahan ramai pemimpin UMNO yang merasakan bahawa parti mereka akan hilang http://xtive.utusan.com.my/tools/utusan/update_gambar/111130145913.jpgkuasa di tangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang semakin jelas terpampang.

Igauan ngeri mereka itu menggambarkan seolah-olah Malaysia ini akan dilanggar garuda. Kata-kata “Jika UMNO hilang kuasa, Melayu akan hancur” melambangkan kehebatan imaginasi para propagandis UMNO

Mereka meneka-neka apa kemungkinan akan terjadi jika kehilangan kuasa, mereka mula menyangka yang bukan-bukan tentang apa yang bakal berlaku ke atas untung nasib mereka.

Imaginasi orang bersalah

Mereka membayangkan bahawa jika Pakatan Rakyat menang, maka Perdana Menteri adalah orang Cina dan bukan Melayu lagi. Mereka membentuk imaginasi mengatakan Islam akan hancur berkecai-kecai dan agama lain akan menjadi agama persekutuan. Begitu juga Bahasa Melayu yang dibayangkan akan lebur.

Mereka membayangkan bahawa kedudukan istimewa Melayu dan digantikan dengan hak sama taraf. Negara kita pula digambarkan akan menjadi sebuah negara republik, yakni tanpa Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Sultan lagi.

Pendek kata, imaginasi propaganda UMNO ini membayangkan seolah-olah dunia Melayu akan kiamat jika rakyat menolak UMNO.

Igauan ngeri ini hanya lahir apabila seseorang pemimpin atau kumpulan yang dipimpinnya mula merasa bersalah dan berdosa. Perasaan bersalah itu kini sedang menyelubunginya, terasa seperti dibayangi oleh sesuatu, terasa sedang diburu oleh sesuatu. Maka muncullah satu fenomena yang kita kenal sebagai ‘paranoid’.

Oleh sebab kesalahannya itu banyak dan besar, maka tanda-tanda untuk mereka menerima pembalasan akan tergambar dengan sendirinya dihati dan fikiran UMNO. Itulah yang sedang berlaku, mereka sedang membayangkan sesuatu yang buruk bakal menimpa diri jika gagal dalam PRU ke-13 kelak.

Mereka takut kesalahan-kesalahan yang pernah mereka lakukan selama ini akan terbongkar, kezaliman mereka akan didedahkan dan hal-hal rasuah mereka akan mula makan diri.

Kebijaksanaan rakyat

Namun, strategi propaganda seperti ini amat sukar dijual kepada orang Melayu dan Islam pada zaman ini kerana sudah ramai yang waras, bijak dan tidak mudah ditipu.

Orang Melayu tahu menilai kes National Feedlot Centre (NFC) yang jelas kesalahan kronisme dan salah guna kuasa. Mereka tahu Akta Perhimpunan Aman bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana mahu menutup minda dan mulut rakyat.

Kebijaksanaan orang Melayu di zaman ini menjadi aset penting kepada mana-mana parti politik yang ingin memujuk mereka. Malah, bukan orang Melayu sahaja, malah sahabat-sahabat Bumiputera di Sarawak dan Sabah sudah mula sedar tentang perihal hak mereka dipermainkan oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Ertinya, Melayu, Bumiputera dan semua kaum lain di negara ini semakin sedar bahawa satu perubahan positif amat diperlukan untuk keluar dari kitaran ganas yang hanya merugikan rakyat dari semua kaum dan agama.

Satu demi satu mitos ciptaan UMNO-BN telah terbukti palsu dan fitnah. Apabila PAS mengambil alih pentadbiran Kelantan pada 1990, UMNO-BN menuduh rakyat akan terabai, terhina dan jatuh miskin.

Selama 21 tahun, rakyat Kelantan setia dengan PAS. Oleh kerana tekanan keras dan sekatan daripada kerajaan pusat BN, maka Kelantan sukar untuk maju di segi ekonomi.

Sepatutnya dengan penindasan sedemikian, termasuk kengganan kerajaan pusat memberi royalti minyak kepada Kelantan, tentu negeri Cik Siti Wan Kembang itu menderita sebagai negeri paling miskin di negara ini.

Sebaliknya, rakyat negeri-negeri yang kaya dengan hasil bumi di bawah pemerintahan BN yang menderita dengan kemiskinan seperti Sabah, Terengganu dan Perak.

Kelantan bersama Kedah, Pulau Pinang dan Selangor kini berada di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat. Negeri mana yang telah bankrap? Negeri mana orang Melayu telah hilang harta dan hidup merempat? Negeri mana Islam sudah dimatikan? Negeri mana Sultan diturunkan dari takhta?

Apa yang menjadi pengetahuan umum – kecuali para propagandis UMNO – adalah kesemua negeri Pakatan menunjukkan prestasi yang lebih baik dari negeri-negeri di bawah penguasaan UMNO-BN.

Walau pun disekat bantuan kewangan, walau pun ditohmah, walau pun ditimbulkan kekecauan, Laporan Ketua Audit Negara saban tahun membuktikan kejayaan besar pentadbiran negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Penentuan rakyat

Bayangkan jika rakyat memilih Pakatan Rakyat untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat dalam PRU akan datang.

Jangan mudah terpedaya dengan tohmahan cacing kepanasan. Pakatan Rakyat telah sebulat suara menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Jika apa pun berlaku, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah pun berikrar menerima realiti politik bahawa Perdana Menteri adalah dari kalangan orang Melayu Islam.

Bukankah suatu ketika dahulu tokoh besar negara Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang orang bukan Melayu atau bukan Islam untuk menjadi Perdana Menteri?

Memang benar kenyataan itu tetapi Guan Eng sendiri sedar akan hakikat politik negara. Menerima Melayu sebagai Perdana Menteri adalah tanda penghormatan kepada kaum majoriti di negara ini di samping akur kepada hakikat demokrasi, asalkan yang memimpin negara itu bukan manusia yang kotor, rasuah dan suka menyalahgunakan kuasa.

Semua kisah yang dimomokkan para pemimpin UMNO itu hanya sekadar bayangan ketakutan mereka sendiri. Ketakutan inilah yang menjadikan mereka terus diburu oleh dosa-dosa kesalahannya.

Malah, dalam keghairahan mempertahankan kuasa, mereka kadang-kadang lupa bahawa dalam ramai-ramai 3.3 juta ahli UMNO, ada juga yang semakin meluat dengan telatah dan kerakusan pemimpin mereka sendiri.

Bukankah kerana marah dengan keangkuhan pimpinan UMNO dahulu, telah ada antara mereka yang mengundi Pakatan Rakyat dalam PRU 2008?– Roketkini.com

Tiada ulasan: