Ahad, 11 Disember 2011

KLCC mohon perintah mahkamah jika flashmob diteruskan?

MerdekaReview


Mungkin sesuatu yang mengejutkan, apabila pihak pengurusan Kuala Lumpur City Centre menghantar surat guaman kepada tujuh orang anggota yang terlibat dalam Kempen Kebebasan Berhimpun ("Jom Ke Jalan"). Surat guaman tersebut mendakwa bahawa pihak KLCC akan memohon perintah mahkamah untuk menghalang mereka menjejak langkah ke kawasannya seandainya berkeras kepala untuk menganjurkan perhimpunan pada Sabtu ini.

Bagaimanapun, anggota Kempen Kebebasan Berhimpun, yang menggelar diri mereka "KillTheBill.org", enggan tunduk kepada permintaan KLCC, yang mahu mereka membalas surat dalam tempoh 24 jam, memaklumkan kepada KLCC bahawa perhimpunan pada Sabtu ini dibatalkan. "Kami tidak percaya kepada mana-mana ideologi authoritarian untuk mengawal aktiviti kawan kami di Facebook. Kami berpegang teguh bahawa rakyat Malaysia memiliki kebebasan untuk menjemput kawan melalui Facebook untuk bertemu di mana-mana tempat awam."

"Justeru itu, kami tidak akan respon kepada notis dalam 24 jam daripada KLCC, dan mereka bebas untuk memohon perintah mahkamah," kata mereka dalam satu kenyataan media. Pihak pengurusan KLCC melalui anak guamannya, Zul Rafique & Partners telah menghantar surat guaman kepada Wong Chin Huat, Vienna Looi, Hew Li Huang, Chom Lee, Jason Tong, Ducky Charis Siah dan Aduka Seri Perkasa (En Jawa), pada hari ini.

"Kami percaya bahawa mungkin ini kali pertama di Malaysia, kalau bukan di dunia, di mana satu flashmob dilihat sebagai ancaman besar yang memerlukan perintah mahkamah. Ini adalah memilukan selepas dunia bersetuju dengan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia 63 tahun yang lalu," kata "KillTheBill.org".

Bagaimanapun, mereka bersetuju untuk menggugurkan perkataan "Flashmob" dan "Human Rights", dengan kefahaman bahawa istilah yang biasa untuk semua negara bertamadun pada abad ke-21 ini mungkin menimbulkan kerumitan terhadap pengurusan KLCC atau parti yang berkenaan di Malaysia.

Dua perhimpunan telah diadakan sebelum ini, pada 3 Disember dan 26 November di perkarangan KLCC sebagai bantahan kepada Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman. Dua aktiviti ini menarik kehadiran ratusan orang, namun RUU Perhimpunan Aman ini diluluskan pada 29 November di Dewan Rakyat, dengan pembangkang keluar dewan sebagai protes.

*Facebook: Malaysians Can Go Shopping & Pose with Xmas Trees without Police Permit

Tiada ulasan: