Khamis, 8 Disember 2011

Khalid: AGM bukti Umno ‘makin keras’, Najib pamer ‘stunt politik’

MALAYSIA CHRONICLE



SHAH ALAM— Perhimpunan Agung Umno minggu lalu menjadi bukti ia sebuah parti ektremis Melayu yang rasis manakala presidennya Datuk Seri Najib Razak mampamerkan “stunt politik” yang jelas bercanggah dengan gagasan 1 Malaysia, tegas PAS.

Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, Khalid Samad (gambar) berkata, ucapan Najib selaku presiden Umno dan perdana menteri sewaktu perhimpunan itu jelas membuktikan beliau merupakan “ultra Melayu” yang melampau dan menidakkan bangsa lain.

“Ucapan Najib sewaktu perhimpunan Umno dilihat sebagai ‘stunt politik’ yang bercanggah dengan prinsip 1 Malaysia yang diwar-warka beliau sebelum ini.

“Perdana Menteri cuba menunjukkan kepada umum, Umno satu-satunya parti yang mampu memperjuangkan bangsa Melayu di negara ini,” katanya dalam pada sidang media di pejabatnya di sini.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, Najib dengan jelas cuba menunjukkan sekiranya Umno ditentang, itu merupakan penentangan terhadap orang Melayu sendiri.

“Dalam ucapannya, Najib seolah-olah menyarankan pengikut Umno untuk menepikan masalah rasuah, seleweng dan pembaziran yang dilakukan Umno.

“Mereka seperti disuruh untuk mempertahankan dominasi Umno di negara ini dan mereka yang menentang Umno dilihat menentang Melayu,” tegas Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor ini.

Tambahnya, tindakan Perdana Menteri menyertai Perhimpunan Perdana Pekida di sini Isnin lalu merupakan bukti bahawa ekstremis Melayu Umno semakin keras.

“Tindakan Najib hadir ke perhimpunan Pekida itu membuktikan perjuangan ekstrimis Melayu beliau semakin keras, Pekida merupakan ‘ultra Melayu; berhaluan kanan yang dominan di negara ini,” tegasnya.

Menurutnya, Najib secara jelas membuktikan kehadiran beliau pada perhimpunan tersebut menyimpang daripada retorik wasatiyyah yang dicanangkannya selama ini.

“Pakatan Rakyat menawarkan keadilan untuk semua, Pakatan adalah kepimpinan Melayu yang benar yang tidak menindas masyarakat Melayu seperti Umno.

“Keadilan yang diwujudkan Pakatan Rakyat adalah keadilan untuk semua,” tegasnya.

Menurutnya, melalui Pakatan Rakyat, masyarakat Melayu dijamin tidak akan kehilangan kuasa, sebaliknya matlamat utama adalah untuk menjatuhkan dominasi Umno.-themalaysianinsider

Tiada ulasan: