Baru-baru ini, setiausaha agung Umno telah mengumumkan bahawa keahlian parti itu kini telah mencapai lebih daripada 3 juta ahli dan Umno negeri Sabah adalah merupakan penyumbang terbesar keahlian dengan lebih daripada 480,000 orang ahli.
Begitu bangganya Umno dengan jumlah keahlian parti yang begitu besar. Negeri Sabah pula adalah merupakan penyumbang terbesar keahlian parti tersebut pada hari ini. Betulkah keahlian Umno ini begitu ramai?
Adalah perlu diingati bahawa mempnyai jumlah keahlian parti yang begitu besar sekali di negara ini tidak semestinya akan dapat menghasilkan ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin yang berintegriti, bermaruah tinggi dan berkualiti.
Kalau benar-benar Umno mempunyai lebih daripada 3 juta orang ahli parti, maka bolehlah ditafsirkan parti-parti lain seperti PKR, PAS, PRM, KITA, DAP dan sebagainya telahpun menjadi tin kosong.
Ataupun bolehkah kita katakan keahlian Umno sekarang mungkin merangkumi orang-orang yang tidak sepatutnya wujud, seperti orang-orang Indonesia, Bangladesh, Bansa Moro Filipina, Pakistan, Rohingya Myanmar, Afghanistan, mat-mat rempit, peragut-peragut, banduan-banduan penjara dan berkemungkinan juga terdapat ramai ahli-ahli yang telahpun meninggal dunia.
Negeri Sabah diragui
Jumlah keahlian Umno di negeri Sabah sememangnya patut diragui dengan angka lebih daripada 480,000 orang ahli seperti yang didakwa mereka, ekoran terdedahnya satu skandal di negeri tersebut.
Kita telahpun mengetahui bahawa Sabah yang kini diperintah oleh Umno sedang menghadapi persoalan yang paling serius berikutan timbulnya skandal Projek IC baru-baru ini, yang mana ramai pihak telah mengadu ramai pendatang asing tanpa izin telah diberi kewarganegaraan agar mereka dapat mengundi pada pilihanraya umum dan negeri.
Bukan sahaja parti-parti pembangkang di Sabah yang mengadu dan meminta agar siasatan dijalankan dengan segera, malah parti-parti komponen BN (kecuali Umno) turut mengadu masalah tersebut telah hilang kawalan dan menjadi serius. Parti-parti komponen BN yang lantang menggesa agar skandal Projek IC ini disiasat dengan lebih mendalam adalah PBRS, LDP, Upko dan PBS. Sebelum ini, SAPP turut menggesa agar kes tersebut disiasat dan dilanjutkan ke peringkat suruhanjaya diraja. SAPP telahpun keluar daripada BN ekoran daripada masalah tersebut yang semakin berlarutan dan ini bergerakan sebagai parti pembangkang di negeri tersebut.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi Pembaharuan Pilihanraya yang turut mengadakan suatu seesi dialog dengan rakyat di Sabah baru-baru ini turu mengesyorkan kepada kerajaan pusat agar dibentuk satu suruhanjaya diraja untuk menyiasat dengan lebih mendalam skandal tersebut yang telah berlarutan selama lebih sepuluh tahun.
Duit rakyat habis dibolos, subsidi pun hilang
Jika sekiranya keahlian Umno yang kini telah menjangkau lebih 3 juta ahli itu adalah benar, bolehlah juga kita katakan bahawa ianya adalah salah satu daripada penyumbang kepada kekeringan dana kerajaan dan bertambah teruknya siri-siri penyalahgunaan kuasa dan kewangan kerajaan yang semakin ketara.
Ini terbukti dengan laporan tahunan Ketua Audit Negara baru-baru ini yang telah mendedahkan puluhan ribuan bentuk penyalahgunaan kuasa di dalam jentera kerajaan yang dikuasai oleh Umno, kontrak-kontrak yang diberikan kepada kontraktor-kontraktor Umno yang kebanyakan tidak mempunyai sebarang kepakaran di dalam kerja-kerja yang ditawarkan, mereka-mereka yang hanya mengalibabakan kerja-kerja kontrak itu kepada pihak-pihak lain dan sebagainya.
Beginilah cara duit rakyat habis dibolos oleh kroni-kroni Umno ini dan akibat daripada itu, dana kerajaan menjadi semakin tenat, terpaksa meminjam daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), UEM Corporation, MRCB, YTL, Petronas, CIMB, Maybank dan sebagainya melalui pinjaman dan jaminan-jaminan bon yang besar.
Oleh kerana beban-beban pinjaman yang terpaksa diambil kerajaan BN, beberapa jenis subsidi-subsidi yang bertujuan untuk membantu rakyat meringankan bebanan inflasi, seperti makanan dan beberapa jenis kemudahan asas ditarik balik sepenuhnya. Akibatnya, rakyat terpaksa menanggung kenaikan harga mendadak beberapa jenis barangan keperluan asas.
Masyarakat Melayu terus miskin
Jika sekiranya ada lebih daripada 3 juta ahli Umno sekarang, persoalannya adalah kenapa sehingga pada hari ini, masih terdapat puluhan ribu orang-orang Melayu yang masih hidup dalam keadaan daif, miskin, buta huruf, tidak mendapat pendidikan dan pekerjaan yang sempurna, mengalami pelbagai jenis penderitaan, banyak kampung-kampung Melayu di kawasan pendalaman yang masih tidak mempunyai kemudahan asas seperti air, elektrik, jalanraya, telefon dan sebagainya?
Kenapa dengan adanya lebih daripada 3 juta ahli dalam Umno, orang-orang Melayu masih lagi terpinggir dan hidup melarat seperti yang didakwa oleh beberapa perwakilan di dalam perhimpunan agung Umno yang kini sedang berlangsung?
Kenapa pula dengan adanya lebih daripada 3 juta ahli dalam Umno, parti tersebut masih tidak berdaya untuk membantu orang-orang Melayu yang menderita serta bermasalah dan kenapa pula dengan kuasa mutlak yang Umno nikmati sekarang masih juga tidak berdaya untuk mengeluarkan orang-orang Melayu daripada kongkongan kemiskinan yang teruk dan membawa mereka ke alam pembangunan dan arus kemajuan yang telahpun banyak dikecapi oleh kebanyakan orang-orang bukan Melayu?
Ini adalah tanda tanya dan persoalan yang masyarakat Melayu pada keseluruhannya perlu kaji sama ada Umno ini benar-benar membantu mereka ataupun sebaliknya, sama ada keahlian dalam Umno ini benar-benar terdiri daripada orang-orang Melayu sahaja ataupun sebaliknya, sama ada jika Umno tidak lagi berkuasa, maka orang Melayu akan lenyap dari bumi ini, dan akhirnya, sama ada orang-orang Melayu benar-benar memerlukan Umno untuk meneruskan hidupan harian mereka ataupun sebaliknya.
Yang peliknya adalah, apabila Pakatan Rakyat menerajui beberapa negeri seperti Kedah, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang, timbul pula yang kononnya Pakatan Rakyatlah yang menyebabkan orang-orang Melayu jatuh miskin, menderita dan terpinggir, sedangkan Umno telahpun memerintah negara ini lebih daripada lima puluh tahun dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mereka anjurkan sejak tahun 1970an sehingga bagi membantu orang-orang Melayu untuk membangun?
Sedarlah, bahawa Umno ini hanyalah suatu penipuan yang maha besar rupanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan