Isnin, 12 Disember 2011

Hudud: Presiden MCA disifatkan angkuh, tertutup


Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyifatkankan keengganan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek memohon maaf ekoran kritikannya terhadap cubaan melaksanakan hudud di Malaysia sebagai "angkuh" dan bersikap "tertutup".

NONEKesal dengan perkara itu, Setiausaha Agung Abim Mohamad Raimi Rahim (kanan, bersongkok) berkata, tindakan Chua mempertahankan kenyataannya menunjukkan kecetekan kefahaman walaupun telah ditawarkan penjelasan akademik.

"Walaupun menjunjung tinggi kebebasan bersuara yang dianjurkan menerusi lunas-lunas demokrasi, namun ia tidak memberikan ruang yang seluas-luasnya untuk pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyinggung sensitiviti agama - dalam konteks ini, umat Islam secara keseluruhan - yang menjamin kestabilan dan keharmonian politik di negara ini," katanya.

Chua semalam mempertahankan pendirian bahawa beliau berhak mempersoalkan hudud versi PAS serta kesannya pada bukan Islam dan dalam masa yang sama Abim juga berhak menuntutnya memohon maaf.

azlanJelasnya, Abim juga harus mengiktiraf hak MCA sebagai parti politik dan forum berkaitan yang dianjurkan parti itu sepakat bahawa hudud PAS akan memberikan kesan kepada bukan Islam.

"Kamu mesti tetapkan, ia hudud PAS dan bukan hanya hudud," katanya selepas program di Pelabuhan Klang semalam sambil menyifatkan "biggest nonsense" (amat karut) untuk mengatakan bukan Islam tiada hak membicarakan hudud.

Dalam kenyataannya semalam, Mohamad Raimi berkata, umat Islam sebagai teras "hasrat politik" di negara ini perlu dihormati dan tindakan Chua didakwa menyentuh bidang kuasa Yang Di-Pertuan Agong.

"Berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan ini, ABIM menggesa hudud tidak dipermainkan sebagai instrumen populariti politik Datuk Seri Chua Soi Lek dan pihak-pihak yang berkepentingan!" kata Mohamad Raimi.

Tiada ulasan: