Sabtu, 10 Disember 2011

Hadi lancar buku Negara Berkebajikan: Tawaran PAS

Abdul Rahim Sabri
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan melancarkan buku "Negara Berkebajikan: Tawaran PAS" yang memuatkan penjelasan dan perincian mengenai kandungan konsep negara berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS.

Majlis pelancaran buku tersebut dijadual berlangsung di perkarangan Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam jam 3 petang esok.

Antara pemimpin kanan yang dijangka hadir ialah naib presiden PAS Salahudin Ayub, ketua penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, ahli jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad dan pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman.

Buku setebal 59 muka surat itu yang ditulis sendiri oleh Abdul Hadi itu menggariskan tentang konsep, polisi dan agenda yang akan ditawarkan oleh parti itu bersama Pakatan Rakyat sekiranya diberi peluang mentadbir negara.

Dalam bahagian polisi-polisi umum, Negara Berkebajikan akan melihat dan menambahbaik polisi-polisi sedia ada termasuk dalam polisi politik, ekonomi dan sosial.

Sementara dalam bahagian agenda pula, Abdul Hadi memperincikan 10 agenda yang ditawarkan PAS yang menyentuh kerajaan beramanah, adil dan bersih, masyarakat penyayang, aman dan bersatu, serta ekonomi mampan, seimbang dan saksama.

Selain itu, Abdul Hadi yang menyentuh mengenai pendidikan berkualiti, perkhidmatan kesihatan yang cekap dan berkualiti, kebajikan langsung, menyeluruh dan mesra rakyat serta keluarga harmoni, bahagia dan bermoral.

Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang turut menghuraikan mengenai belia dan pekerja produktif, kemudahan prasarana berkualiti serta pemeliharaan alam sekitar.

Buku ini juga merupakan penjelasan kepada buku pertama yang ditulis Abdul Hadi sendiri yang bertajuk "Konsep Asas Negara Berkebajikan" yang telah dilancar sebelum ini.

Kedua-dua buku tersebut adalah susulan daripada ucapan dasar yang dibentangkannya dalam Muktamar Tahunan PAS ke-57 Jun lalu yang bertemakan "Membangun Negara Berkebajikan".

Sidang media akan diadakan selepas majlis tersebut.

Tiada ulasan: