Ahad, 11 Disember 2011

Gamis lapor polis, gesa siasat video hina Islam

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap dalang video Sembang Rakyat yang menghina Islam.

Dalam satu laporan polis yang dibuat di Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam, mereka mahu siasatan segera dijalankan terhadap penyebaran video tersebut di laman sosial facebook dan youtube.

Video tersebut yang berjudul 'Musim Hudud Pas' dan 'Lagi Hudud PAS' itu jelas meraka dikhuatiri akan mencetuskan salah faham serta penghinaan terhadap hukum Islam yang juga menjatuhkan kesucian agama Islam.

"Gamis memohon pihak berkuasa terutama polis dan Kementerian Penerangan dan Komunikasi, menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan sewajarnya.

"Kita juga mendesak agar semua krew penerbitan video ini termasuk pengarah dan pelakon yang terlibat memohon maaf secara terbuka terutama kepada seluruh umat Islam kerana penyiaran dan penyebaran video ini menyentuh sensitiviti umat islam," laporan itu dipetik.

Sementara itu, Presiden Gamis, Saudara Akram Ikrami Taib Azamudden berkata, laporan itu dibuat bukan kerana kepentingan politik mana-mana pihak namun ianya soal penghinaan terhadap Islam dan hukum Allah.

"Bagi peringkat mahasiswa, kami tidak peduli soal pertembungan parti politik dalam video ini, tetapi yang kami rasa tercabar ialah penghinaan terhadap hukum Islam tersebut.

"Lakonan mereka jelas menunjukkan penyelewengan tentang kefahaman hukum hudud dan yang lebih merisaukan ialah ia akan menimbulkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," katanya kepada Harakahdaily.

Selain itu, beliau memohon agar pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selaku pihak yang berautoriti memberi penjelasan sebenar berkaitan hukum hudud kepada masyarakat bagi mengelakkan salah faham seperti dalam video tersebut.

Tiada ulasan: