Jumaat, 2 Disember 2011

Amaran Nazri, nasib PRU 2008 ulang jika ahli Umno terus ‘gaduh’


KUALA LUMPUR— Konflik dalam Umno untuk menjadi calon pilihan raya umum ke-13 boleh membawa kepada kemungkinan berulangnya nasib dialami parti itu tiga tahun yang lalu, kata seorang pemimpin kanannya hari ini.

Dalam amarannya menjelang Perhimpunan Agung Umno 2011 yang bermula pagi ini, ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz berkata, ahli-ahli Umno tidak belajar daripada kesilapan 2008 di mana rebutan dalaman dan sikap menikam dari belakang telah mengakibatkan Umno dan Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen selain kehilangan empat lagi negeri selain Kelantan.

Nazri yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri mendakwa ahli-ahli Umno enggan berkorban demi parti dan kepentingan nasional, sebaliknya tidak kisah untuk memastikan calon yang lain dipilih, bukannya mereka, kalah.

Nazri (gambar) berkata Perlis, Terengganu dan Sabah merupakan tiga negeri yang Umno menyaksikan wujudnya pertelingkahan sengit yang berterusan.

“Anda tahu, ia satu masalah yang tiada kesudahan setiap kali kami mendekati pilihan raya, akan ada saja masalah mengenai calon.

“Dalam pilihan raya, jika pembangkang menang kerusi, bukan mereka menang tetapi Barisan Nasional yang kalah. Bermakna tiada perpaduan di kalangan kita. Ada sabotaj dan jentera parti tidak boleh bergerak dengan baik dan kita akan kalah,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Tiada ulasan: