Blog Addin
Kenyataan menggemparkan Dato Ahmad Maslan yang dengan semborono menuduh DAP sebagai agen Kristianiti (menyebarkan agama kristian) disifatkan banyak pihak sebagai berunsurkan perkauman yang salah untuk diucapkan oleh orang biasa sekalipun, apatah lagi bagi seorang Timbalan Menteri sepertinya. Tidak cukup dengan itu, Ahmad Maslan turut menuduh DAP sebagai anti raja dan anti Islam.
Penulis berpendapat, kenyataan Ahmad Maslan itu adalah hasil ‘asuhan’ UMNO dimana dia sendiri dilantik sebagai Ketua Penerangannya.
Tidak keterlaluan kalau penulis katakan, apa yang disebut Ahmad Maslan ini ialah bukti sebenar prejudis UMNO terhadap kepelbagaian agama di Malaysia ini – hakikat yang sering dinafikan pucuk kepimpinan parti tersebut.
Tuduhan DAP sebagai agen kristian ini adalah satu lagi salah tanggap yang sedang bermain dikalangan masyarakat melayu di negara ini terhadap parti tersebut. Salah tanggap yang pertama ialah DAP hanya mengutamakan kaum cina sedangkan perlembagaan DAP jelas menyatakan bahawa ia adalah parti untuk semua kaum.
Semua ini bermula dari isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Damansara Utama Methodist Church (DUMC) pada Ogos lepas. Tindakan kepimpinan DAP yang menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri membantah serbuan JAIS itu disalah ertikan sebagai DAP menyokong kristianiti dan cubaan memurtadkan orang Islam.
Walaupun sudah dijelaskan dengan panjang lebar bahawa bantahan itu tidak ada kena mengena dengan sokongan DAP kepada cubaan murtad sebaliknya terhad kepada tindakan JAIS menyerbu kawasan gereja yang berada diluar skop penguatkuasaannya, ia masih tidak mampu menghentikan penyelewengan fakta mengenai DAP.
Dengan pendedahan yang dibuat Ahmad Maslan, sekarang tahulah kita dalang sebenar disebalik penyebaran maklumat salah mengenai DAP.
UMNO sedar sekarang bahawa ia sudah hilang peluang dikalangan orang bukan melayu yang secara total memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat, maka itu ia perlu mengeluarkan kenyataan yang sedemikian bagi menjamin undi melayu kepadanya.
DAP perlu menghentikan tuduhan tidak berasas ini dengan mengambil tindakan undang-undang ke atas Ahmad Maslan. Penulis yakin, seperti mana kenyataan kontroversi berbaur perkauman UMNO yang lain, Ahmad Maslan akan menafikan ada mengeluarkan kenyataan yang sedemikian tapi dengan kerjasama portal berita yang mendedahkannya, penulis tidak nampak ada sebarang masalah kenapa tindakan undang-undang tidak boleh diambil.
Penulis takut jika tindakan lambat diambil, ia boleh menyebabkan sokongan orang melayu terhadap PKR dan PAS akan turut terjejas kerana kedua parti tersebut mempertaruhkan nasib parti masing-masing dikawasan majoriti orang melayu./suaraPR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan