Selasa, 1 Mac 2011

Wartawan Harus Punya Prinsip Untuk Laporan Yang Adil

KUALA LUMPUR: Setiap wartawan di negara ini terutama wartawan muda harus mempunyai prinsip untuk menghasilkan laporan dan berita yang adil.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim berkata prinsip tersebut termasuklah menulis berdasarkan fakta, tidak menyakiti hati sesiapa dan mampu memberi sumbangan kepada masyarakat.

"Tugas wartawan pada hari ini bukan sekadar melapor tetapi harus sentiasa mengimbangi antara yang baik dengan yang buruk tanpa meninggalkan fakta.

"Prinsip ketegasan ketika menulis adalah penting. Orang boleh buat wartawan begitu dan begini tapi bila menulis mestilah berlandaskan fakta, jangan sampai menyakiti hati orang lain sehingga disaman malu atau mendapat saman mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia yang diadakan di Bangunan Sultan Abdul Samad, pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysian Datuk Chamil Wariya.

Rais yang meluangkan masa berdialog bersama 18 wartawan muda selama kira-kira satu jam berkata setiap wartawan berperanan memberi sumbangan kepada tanah air melalui penulisan.

Katanya, untuk mencapai matlamat itu amat penting bagi seseorang wartawan itu mempunyai kemahiran membuat analisis secara tepat, bukan hanya menonjolkan isu-isu keterlaluan sehingga memberi kesan tidak baik kepada masyarakat.

"Penulis muda harus bertangungjawab supaya tidak berlaku keterlaluan dalam laporan.

"Tidak seharusnya berlaku isu perkauman yang berpunca daripada penulisan atau berita yang disiarkan di televisyen atau radio," katanya.

Katanya, dalam zaman yang serba mencabar ini penulis muda yang menulis untuk masa hadapan harus berkebolehan melihat dari dua sudut pandangan yang berbeza.

Rais berkata, tidak menjadi masalah untuk wartawan melaporkan apa yang berlaku tetapi olahan ayat perlulah dibuat dengan betul agar seseuatu keadaan yang dianggap keterlaluan tidak menjadi lebih buruk.

"Apabila wartawan berdepan dengan sesuatu isu keterlaluan, mereka boleh menghentam keadaan tersebut.

"Tapi dalam masa yang sama berilah pandangan lain yang dapat melunakkan keterlaluan itu," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sikap wartawan dan syarikat penerbitan hari ini yang kebanyakannya lebih gemar menyiarkan kisah berunsur 'kekitaan' berbanding memupuk perpaduan dalam negara.

Program Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia bertujuan meningkatkan pengetahuan kenegaraan di kalangan wartawan yang baru menceburi bidang kewartawanan dan menajamkan kemahiran kewartawanan terhadap mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia ini.

Kursus yang berlangsung dari 21 Februari 2011 hingga 17 Mac 2011 ini dianjurkan MPI dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi melibatkan penyertaan 18 wartawan dari seluruh negara.

Tiada ulasan: