Rabu, 2 Mac 2011

Umno: Untuk rakyat membazir, perut sendiri OK

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: PAS menafikan menjadi kuda tunggangan PKR apabila melancarkan Buku Jingga di Markaz Induk Pilihan raya Kecil Kerdau pada 26 Februari lalu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, tuduhan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berhubung perkara itu sebagai satu fitnah kepada PAS supaya wujud perpecahan di dalam Pakatan Rakyat.

“Buku Jingga ialah pemuafakatan bersama dan dirancang serta diteliti oleh ketiga-tiga parti (PAS, PKR dan DAP) supaya mendapat keputusan bersama, bukan oleh satu parti sahaja,” jelasnya.

Tambahnya, tuduhan Naib Presiden Umno itu membayangkan keresahan yang ada di dalam pemikiran pemimpin Umno, kerana bimbang rakyat mengalih sokongan kepada PR, terutama angin perubahan di Asia Barat.

Jelasnya lagi, tuduhan yang mengatakan bahawa Buku Jingga mengenepikan pakar-pakar ekonomi adalah tidak betul.

“Orang yang tidak pakai pakar ekonomi ialah pemimpin Umno,” katanya.

Katanya, kes kritikan Tengku Datuk Zafrul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif bank pelaburan Maybank, terhadap pelantikan Tan Sri Isa Samad selaku pengerusi Felda, nampaknya terus menimbulkan kemarahan di kalangan pemimpin pertengahan Umno.

Mereka, ujarnya menuduh Tengku Zafrul sebagai telah mempertikai dan memperkecil-kecilkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana melantik Isa, sehingga dicadangkan beliau dipecat daripada jawatan.

Menurutnya lagi, tuduhan negara akan bankrap jika PR melaksanakan janji 100 hari adalah penyakit yang sama dengan pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab selama ini.

“Mereka akan memastikan perancangan yang baik untuk rakyat dianggap membazir dan boleh membawa bankrap. Jika cadangan untuk perut dan kroni mereka akan bersetuju.

“Ini adalah sikap biasa mana-mana pemimpin yang takut tembelang mereka akan terdedah jika kerajaan baru menggantikan mereka,” katanya lagi.

Justeru, PAS ingin mengingatkan Zahid sebelum membuat tuduhan hendaklah menyelidik dahulu.

“Jangan buat telahan sebarangan, sesuai dengan ijazah Doktor Fasafah yang dimiliki. Jangan malukan nilai akademik yang dimiliki oleh beliau,” ujarnya.

Tiada ulasan: