Isnin, 14 Mac 2011

Umno Selangor Nafi Gagal Bayar Bil PBT

BERNAMA

SHAH ALAM: Umno Selangor tidak pernah gagal melunaskan bil tuntutan daripada mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak pakatan PKR-DAP-PAS mengambil alih pentadbiran negeri itu pada Mac 2008, kata Ketua Pemuda Umno Selangor, Ungku Md Salleh Ungku Abd Jamal.

"Setiap pembayaran yang kami buat ada penjelasannya," kata beliau untuk menjelaskan kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Faekah Hussin, bahawa kerajaan negeri akan meminta semua PBT negeri itu untuk menyenaraikan semua hutang Umno kepada PBT dan melakukan tuntutan dalam tempoh dua minggu.

Faekah dilaporkan mendakwa Umno Bahagian Shah Alam masih mempunyai hutang tertunggak melebihi RM236,000 dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sejak lebih setahun lalu.

Ungku Md Salleh dalam satu sidang media di sini pada Ahad juga mencabar Faekah agar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika meragui sumber dana yang diperoleh Umno Selangor dan Yayasan Kelana Ehsan (YKE) untuk membiayai penghantaran pulang pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir.

Katanya Umno Selangor mempunyai dokumen yang lengkap untuk setiap perbelanjaan yang dilakukan dan beliau tidak takut jika perkara itu disiasat.

"Faekah sepatutnya melapor kepada SPRM jika mempunyai bukti-bukti yang menyebabkan beliau ragu dengan dana yang diberi khas kepada pelajar-pelajar negara ini yang menuntut di Mesir," katanya.

Tiada ulasan: