KUALA LUMPUR — Suruhanjaya yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini mempersoalkan sama ada adil bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membiarkan seseorang saksi menunggu lama tanpa dipanggil semula.
Pengerusi suruhanjaya itu Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen bertanya adakah adil Teoh disuruh menunggu dan ditinggalkan begitu sahaja untuk beberapa jam, memandangkan Teoh adalah saksi untuk membantu siasatan.
Beliau berkata tindakannya membangkitkan perkara itu bukan bertujuan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi adalah untuk membetulkan sistem yang sedia ada.
“Saya hendak tahu mentaliti SPRM. Saya bukan hendak marah kamu, jika system (salah), boleh diperbetulkan prosedur,” katanya.
Sebelum itu, pada awal prosiding Penolong Penguasa SPRM Selangor Mohd Ashraf Mohd Yunus memberitahu suruhanjaya itu tindakan meminta saksi menunggu adalah amalan biasa di SPRM, dan pegawai atasan yang bertugas bertanggungjawap memberi arahan lanjut ke atas saksi.
Mohd Ashraf adalah pegawai SPRM yang meminta Teoh menunggu selepas soal siasat pada pukul 12.30 pagi, 16 Julai 2009 dan membiarkan Teoh berada di sofa sehingga pukul 4.45 pagi.
Dalam tempoh itu, iaitu dari pukul 1.30 pagi hingga 4.45 pagi, beliau telah menyiapkan kerja tertangguhnya, membaca akhbar dan tidur tanpa mengetahui apa yang berlaku ke atas Teoh.
Mohd Ashraf berkata bagaimanapun pada pukul 4.45 pagi itu beliau sempat memberi air minuman setelah diminta Teoh, tetapi Teoh tidak memandang wajahnya.
Apabila ditanya oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman apakah perasaan beliau apabila tidak memperdulikan Teoh yang masih menunggu sedangkan beliau sendiri yang mengarahkannya supaya menunggu, Mohd Ashraf berkata: “Tidak fikir.”
Jawapan Mohd Ashraf itu kemudiannya mendapat reaksi lanjut daripada Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom yang bertanya tidakkah beliau berasa bersalah di atas tindakannya itu, sedangkan beliau sendiri membuat kerja lain serta sempat tidur sekejap.
Mohd Ashraf berkata: “Tidak, kerana selepas kita membuat penjelasan pada ketua kita, akan ada arahan pegawai lain untuk sambung siasatan.”
Menjawab soalan pegawai pengendali suruhanjaya itu Awang Armadajaya Awang Mahmud sama ada terlintas di hatinya bahawa Teoh juga penat sepertimana beliau sendiri hingga boleh tertidur di dalam pejabat, Mohd Ashraf berkata: “Tidak terlintas.”
Bagi soalan adakah pegawai SPRM itu tidak peduli tentang kebajikan Teoh yang diminta hadir sebagai saksi dan apa yang berlaku kepadanya, Mohd Ashraf berkata pada fikirannya ketika itu Teoh sedang berehat.
Abdul Kadir: “Ada beliau (Teoh) tanya (ketika minta air) kenapa suruh dia tunggu tapi tidak dipanggil?”
Mohd Ashraf: “Tidak tanya. Dia tidak tanya saya. Bila dia nampak saya dia bangun dan duduk sambil kata “Hoi, saya mahu air.”
Mohamed Hatta: “Selepas kamu fikir dia sedang berihat dan kamu hendak balik pada ketika itu ada fikir dia masih lagi berada di pejabat atau tidak?”
Mohd Ashraf: “Saya telah beritahu Hairul Ilham Hamzah (pegawai atasannya mengenai perkembangan siasatan) jadi saya tidak peduli lagi.”
Mohamed Hatta: “Jadi kamu tidak peduli lagi Teoh dalam hidup kamu?”
Mohd Ashraf: “Ya.”
Selain itu Mohd Ashraf juga memberitahu bahawa selepas disoal siasat Teoh tidak meminta kebenaran untuk pulang dan sepanjang siasatan Teoh kelihatan biasa sahaja serta bekerjasama.
Selain Foong, Abdul Kadir dan Mohamed Hatta, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan dan Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh.
Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat ‘‘keputusan terbuka’’.
Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.
Prosiding disambung esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan