Selasa, 22 Mac 2011

SPRM Jangan Tuduh Sembarangan, Dakwa Di Mahkamah Kalau Ada Bukti

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dinasihati agar tidak menuduh sembarangan wakil rakyat Parti Tindakan Demokrat (DAP) mendapat wang sogokan sekiranya tiada bukti kukuh mensabitkan kesalahan tersebut.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim dalam satu sidang media di parlimen hari ini turut menegaskan Ketua Unit Penyiasat SPRM Selangor, Hairul Ilham Hamzah telah memberikan kenyataan fitnah terhadap DAP dalam kenyataannya kepada Suruhanjaya DiRaja menyiasat kematian Teoh Beng Hock semalam mendakwa DAP menerima sebahagian daripada bayaran untuk projek pembangunan kerajaan Selangor.

Berita mengenainya dilaporkan dalam portal berita The Malaysian Insider semalam.

Kata beliau, kenyataan Hairul bertujuan menipu, tidak berasas serta satu tindakan yang jelas mahu memesongkan tumpuan rakyat dan media jauh dari perjalanan penyiasatan yang sedang dijalankan oleh suruhanjaya diraja tersebut.

"Sekiranya SPRM mempunyai bukti kukuh, mereka patut meneruskan dengan pendakwaan di mahkamah, bukannya mengeluarkan kenyataan bertujuan mengaibkan. Saya gesa SPRM untuk mengambil tindakan disiplin terhadap para pegawainya yang mengeluarkan kenyataan tidak bertanggunngjawab bertujuan mencemarkan nama baik parti," tegas beliau lagi.

Tambah beliau, SPRM juga perlu berhenti mereka penipuan dan menjelaskan bagaimana siasatan yang bermotifkan politik dan pendakwaan terpilih terhadap wakil rakyat Selangor sehingga mengakibatkan kematian seorang individu yang tidak bersalah.

"Sejak berdekad, DAP telah mempertahankan konsep kerajaan yang bersih dan telus serta mengecam korupsi yang semakin menjadi-jadi dan ketiadaan ketelusan dalam pemerintahan BN. Ini membuktikan, pendirian DAP amat jelas bahawa DAP tidak akan bertolak-ansur dengan apa-apa penyelewengan walaupun dari kalangan sendiri," kata beliau lagi.

Tiada ulasan: