Rabu, 23 Mac 2011

SPR Umum Tarikh Penamaan Calon, Pengundian Pilihan Raya Negeri Sarawak Hari Ini

BERNAMA

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian untuk pilihan raya negeri Sarawak yang ke-10, pada Rabu.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata sebelum menetapkan tarikh tersebut SPR akan mengadakan satu mesyuarat tertutup bersama anggota majlisnya untuk mempertimbangkan keputusan itu sekaligus memastikan pilihan raya berjalan dengan lancar.

"Esok kita akan umumkan tarikh penamaan calon dan mengundi, selepas mesyuarat, kerana kita perlu pertimbangkan beberapa perkara agar pilihan raya dibuat pada masa yang sesuai tanpa ada acara seperti perayaan, cuaca dan ambil kira juga persiapan parti yang akan bertanding," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Tepat pukul 5 petang Selasa, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar menyerahkan notis pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak yang ditandatangani oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng kepada Abdul Aziz sendiri dengan disaksikan oleh beberapa anggota majlis SPR.

Aziz berkata SPR mahu menjadikan pilihan raya negeri Sarawak kali ini sebagai pilihan raya terbaik dan segala persiapan telahpun dibuat untuk memastikan segala yang diatur berjalan lancar.

Untuk pilihan raya Sarawak kali ini seramai 24,000 petugas SPR akan ditugaskan di setiap kawasan pilihan raya iaitu membabitkan 1,740 pusat pengundi dan 2,561 saluran pengundi.

Setakat suku keempat 2010 seramai 979,796 pengundi telah berdaftar dengan SPR dan layak untuk mengundi pada pilihan raya negeri kali ini.

Barisan Nasional (BN) Sarawak menguasai 63 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala pembangkang - DAP menguasai enam kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.

Kali terakhir Sarawak mengadakan pilihan raya negeri ialah pada 20 Mei 2006.

Tiada ulasan: