Oleh Mohd Azmi Abdul Hamid
Kami pada hari ini 26hb Mac 2011 mengumumkan pelancaran Saf Anti Fitnah (SAF) . Sehingga pelancaran hari ini kami dianggotai oleh NGO berikut : TERAS , SHURA , PAKSI , Budayawan Bertindak , SALIMAH , Kelab GADIS –SALIMAH ,ISRA (Insititut Penyelidikan dan Pengembangan Syariat ,MBWM( Majlis Bertindak Wanita Islam Malaysia) , Pusat Tassawur Islam Perak, Jaringan Kuliah Dhuha Perak , Muafakat Perubuhan Islam Kedah (WEHDAH), (JAMA’IY) Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak.
Kami mengambil inisiatif ini adalah berdasarkan perkembangan politik tanah air yang sangat memprihatinkan kami.
Kami menyatakan ketegasan dan bantahan keras kami terhadap gejala berkembangnya budaya politik fitnah yang kini sudah menjadi amalan sebahagian ahli politik Negara. Beberapa hari yang lalu muncul lagi isu video seks yang didalangi oleh sekumpulan ahli polItik yang mengelar diri mereka Datuk T .
Kami berpendirian bahawa isu fitnah seks yang nampaknya menjadi-jadi dinegara ini bakal menghunjam negara dan rakyat ini ke kancah kehancuran dan kehinaan yang tidak akan boleh dirawat jika ia tidak dibentaras dari sekarang.
Implikasinya amat berat kerana jika budaya politik begini terus menjadi wajah politik tanah air ia bukan sahaja akan menjadikan Negara ini bahan ketawa seluruh dunia malah akan menjadikan bangsa Melayu dan Islam dihina .
Pemerhatian kami mendapati kini ujud ahli politik dan pihak-pihak yang berkepentingan terlalu ghairah untuk mempertahankan kuasa walaupun dengan cara yang kotor.
Malang sekali ia semacam mendapat restu pihak yang berwewenang dan mereka yang menjadi musuh politik antara parti yang memberi komen yang tidak bertanggungjawab bertujuan untuk mempengaruhi sikap dan pemikiran khalayak awam. Sementara pendalang fitnah dilihat sebagai pahlawan moral , pihak media tertentu pula secara sengaja turut memanaskan fitnah terhadap tertuduh sebagai suatu berita murahan hanya untuk melariskan akhbar.
Natijahnya seluruh rakyat diheret kedalam kekacauan pemikiran yang tidak karuan sehingga politik tanah air dilihat sarat dengan isu-isu yang penuh dengan adegan cantas-mencatas dan fitnah-menfitnah.
Amalan saling menjatuh dan mengaibkan seteru politik melalui apa cara sekalipun sehingga sanggup berkonspirasi dengan isu perlakuan seks ,sudah sangat keterlaluan dan berunsur jahat.
Kami berpendirian sesungguhnya fitnah merupakan satu elemen yang cukup bahaya, apatah lagi fitnah yang membabitkan pertarungan untuk mendapat kuasa politik.
SAF diujudkan adalah bertujuan untuk mengabungkan tenaga NGO Islam dengan para ulama bagi mengemblengkan tenaga melancarkan perang keatas budaya dan konspirasi fitnah dalam Negara semada dalam aspek sosial , budaya , ekonomi mahupun politik.
SAF berhasrat untuk mengujudkan kesedaran kepada rakyat mengenai bahaya fitnah dan akibatnya dan bagaimana rakyat tidak boleh bertoleransi dengan fitnah , konspirator fitnah , pencanang dan penyebar fitnah serta segala alat komunikasi dan media yang mempromosi fitnah.
SAF menggariskan pendiriannya dalam usaha memerangi fitnah kepada 4 sikap :
1. Fitnah mesti diperangi habis-habisan
2. Fitnah yang berkait dengan hukum Qazaf dalam Islam mesti dikuatkuasakan 3. Fitnah mesti dibanteras dalam semua budaya hidup masyarakat
4. Fitnah politik untuk menjatuhkan lawan ditolak dan dibantah sekeras-kerasnya.
Kami mewakili suara rakyat Malaysia yang sudah tidak lagi boleh bertolak ansur dengan budaya politik fitnah yang melampau dan berniat jahat.
SAF menuntut mana-mana pihak yang terbabit dengan fitnah yang terbukti bersalah menyebarkan fitnah hendaklah dihukum dengan hukuman yang sejajar dengan peruntukan undang-undang. Jika ia disabitkan bersalah mengikut hukum Qazaf dalam Islam , maka penguatkuasaan undang-undang syariah hendaklah dilaksanakan.
SAF mengumumkan bahawa bermula hari ini kegiatan kempen dan pendedahan terhadap mereka yang menyebarkan fitnah akan diketengahkan kepada masyarakat agar masyarakat menilai keburukan mereka yang terlibat dengan penyebaran firnah.
SAF bersandarkan hujahnya untuk memerangi fitnah berdasarkan sikap dan prinsip Islam mengenai amalan fitnah. Demikian beratnya implikasi fitnah sehingga al-Quran ada menegaskan bahawa fitnah itu lebih dahsyat daripada pembunuhan. (Maksud ayat 191 dan 217 surah al-Baqarah)
Allah berfirman: وَ الَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَ الْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَ إِثْمًا مُبِينًا ) [ الأحزاب : 58 ] .
Orang-orang yang menyakiti mu’min lelaki dan mu’minah wanita mengenai perkara-perkara yang mereka tidak melakukannya maka mereka telah melakukan pembohongan dan dosa yang jelas nyata
و قال جلّ و علا : ( إِنَّ الَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ الْغَافِلاتِ الْمُؤْمِنَاتِ لُعِنُوا فِي الدُّنْيَا وَ الآخِرَةِ وَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ ) [ النور : 23
Orang-orang yang membuat pertuduhan palsu terhadap wanita mu’minah , Muhsanah yang alpa mereka dilaknat di dunia dan di akhirat . Untuk mereka disediakan azab yang sangat besar. Rasulullah bersabda:
وروى أبو داود في سننه و أحمد في مسنده بإسنادٍ صحيحٍ عَنْ سَعِيدِ بْنِ زَيْدٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ قَالَ : ( إِنَّ مِنْ أَرْبَى الرِّبَا الاسْتِطَالَةَ فِي عِرْضِ الْمُسْلِمِ بِغَيْرِ حَقٍّ ) .
Riba yang paling dahsyat ialah perbuatan menjatuhkan maruah individu muslim lain tanpa asas dan bukti yang benar.
وقال تعالى : ( وَ الَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَ لا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَ أُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ ) [ النور : 4 ] .
Orang yang menuduh wanita Muhsanat berzina kemudian tidak menampilkan empat orang saksi yang sah maka deralah mereka dengan lapan puluh kali sebatan . Janganlah terima lagi kesaksian mereka untuk selama-lamanya dan golongan itu adalah golongan orang –orang fasiq
Dengan sanadaran dalil yang kukuh berdasarkan SAF mengambil tanggungjawab untuk mengembleng rakyat supaya bangkit menentang fitnah sehingga ke akar puncanya.
SAF mengesa rakyat diseluruh peringkat berwaspada terhadap fitnah yang disebarkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan politik sempit dan politik penting diri.
SAF menyeru agar para ulama , cendekiawan serta para budayawan yang berpegang kepada prinsip kebenaran dan keadilan memainkan peranan yang aktif dan proaktif agar menjadi pemandu kepada rakyat untuk membentaras fitnah sehingga ke akar umbi. Rakyat harus sentiasa mendapat isyarat yang betul dari para ilmuan supaya budaya fitnah tidak dibenarkan berleluasa dalam Negara ini. Rakyat perlu menilai dengan matang antara politik kebenaran dan politik fitnah.Sudah sampai masanya rakyat menolak dan tidak bertolak ansur dengan politik fitnah demi membangunkan masa depan Negara yang lebih terhormat dan bermaruah.
SAF mengesa semua pihak yang bertanggungjawab dalam penguatkuasaan undang-undang bertegas supaya tindakan menfitnah dihukum mengikut peruntukan yang ada dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba mengguna kuasa politik untuk kepentingan diri.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Jurucakap SAF
Tiada ulasan:
Catat Ulasan