Sabtu, 5 Mac 2011

Ringgit Dijangka Tidak Menentu Minggu Depan

Ditulis oleh BERNAMA



KUALA LUMPUR : Prospek bagi ringgit dijangka tidak menentu minggu depan, meskipun sentimen pendasar yang kukuh, susulan beberapa peristiwa yang akan berlaku.

Data senarai gaji bukan perladangan AS, mesyuarat jawatankuasa polisi moneteri Bank Negara Malaysia pada 11 Mac, peningkatan harga minyak mentah dan ketegangan politik di Timur Tengah dan Afrika Utara dijangka mendominasi pergerakan unit tempatan minggu depan.

"Jika laporan data senarai gaji AS kukuh, ia akan merangsangkan dolar AS yang akan membawa kepada penurunan ringgit," kata seorang peniaga, sambil menambah bank pusat juga dijangka menaikkan keperluan rizab statutori yang ketika ini berada pada satu peratus.

Dalam suasana ini, ringgit dijangka diniagakan antara 3.02 dan 3.05 berbanding dolar AS minggu depan.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, unit tempatan berusaha untuk melepasi paras 3.0 pada Jumaat apabila sentimen pasaran terus kekal kukuh.

Ia naik ke paras ketinggian 3.0252 pada Jumaat sebelum ditutup minggu ini pada 3.0280/0300 berbanding 3.0510/0540 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Bagi minggu ini, Dolar AS yang lemah, kenaikan harga minyak mentah,pergolakan yang berterusan di Timur Tengah dan Afrika Utara dan faktor-faktor luar lain menjejaskan pasaran pertukaran asing tetapi menyokong kekuatan ringgit.

Berbanding mata wang utama lain, ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.3893/3913 daripada 2.3926/3955 pada minggu sebelumnya dan meningkat berbanding yen kepada 3.6707/6754 daripada 3.7230/7271 sebelumnya.

Ia naik berbanding pound sterling kepada 4.9166/9213 daripada 4.9191/9246minggu sebelumnya tetapi susut berbanding euro kepada 4.2262/2296 daripada 4.2107/2154 sebelumnya.

Tiada ulasan: