Isnin, 21 Mac 2011

Putrajaya Digesa Bekerjasama Tingkat Mutu Pendidikan

TVS NEWS


AMPANG : Kerajaan Persekutuan diminta bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor untuk meningkatkan tahap pendidikan di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali berkata kerajaan negeri Selangor telah membuat permohonan kepada Kementerian Pelajaran pada 23 Julai tahun lalu bagi tujuan pembinaan sekolah rendah dan menengah namun sehingga kini masih belum mendapat tindak balas dari kementerian itu.

Katanya, adalah menjadi kewajiban kerajaan Persekutuan dalam membangunkan institusi pendidikan seperti sekolah dan kerajaan negeri berperanan untuk menyediakan tempat bagi tujuan itu.

“Pada 23 Julai 2010 Yang Amat Berhormat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor telah mengutus surat kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran Malaysia untuk mendapatkan peruntukan bagi maksud tersebut,” ujar beliau.

Azmin berkata demikian pada Majlis Perasmian Dewan Komuniti dan Penyerahan CF Taman Bukit Mulia di Bukit Antarabangsa di sini, semalam.

Sungguhpun begitu katanya tiada sebarang maklum balas diterima daripada Kementerian Pelajaran sehingga ke saat ini.

Tambahnya, kerajaan negeri telah mengenal pasti sebuah tapak seluas enam ekar untuk pembangunan sekolah rendah dan 8.5 ekar untuk pembangunan sekolah
menengah di kawasan berkenaan.

“Mengikut laporan yang kita terima daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa di Bukit antarabangsa termasuk Ukay Perdana terdapat lebih 11,800 rumah kediaman dengan penduduk telah mencecah lebih 50,000 orang namun masalah yang besar ialah tidak ada sekolah rendah dan sekolah menengah di Bukit Antarabangsa,” tambahnya lagi.

Mengikut statistik katanya sekurang-kurangnya terdapat lebih kurang 5,400 anak-anak penduduk di kawasan itu yang memerlukan sekolah rendah dan kira-kira 5,000 untuk sekolah menengah.

Pada masa ini tambahnya penduduk di Bukit Antarabangsa terpaksa menghantar anak-anak di Keramat, Hulu Kelang, Taman Melawati dan kawasan sekitar dan keseluruhan ibu bapa di sini terpaksa menyeberangi kawasan ataupun MRR2 untuk menghantar anak-anak ke sekolah.

Katanya, ekoran masalah yang berpanjangan ini beliau akan membawa perkara ini dalam sidang DUN Selangor yang akan bermula pasa 28 Mac ini.

Beliau turut menjelaskan perancangan membina sekolah rendah agama di kawasan itu memandangkan setakat ini tiada lagi sekolah itu dibina di situ sedangkan 70 peratus penduduk adalah mereka yang beragama Islam.

Tiada ulasan: