Sabtu, 19 Mac 2011

PRU 13: Kita tumpu kawasan majoriti undi kecil

Dalam perancangan awal, parti akan fokus kepada negeri Selangor, Pulau Pinang, Pahang, Melaka, Perak, Kedah dan Wilayah Persekutuan.


PETALING JAYA: Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) akan memberi tumpuan kepada kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang mempunyai persaingan sengit antara parti bertanding serta majoriti kemenangan adalah tipis ketika pilihan raya umum (PRU) lalu.

Demikian menurut Bendahari Kita, Rashid Azad Khan bahawa perancangan awal itu akan memfokuskan kepada negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Pahang, Melaka, Perak, Kedah dan juga Wilayah Persekutuan.

Menurut Rashid, walaupun Kita masih baru namun pelbagai perancangan sentiasa dilakukan dengan melihat situasi politik dan kemampuan parti untuk bertanding dalam PRU-13 akan datang.

“Saya melihat kepada situasi dan kemampuan parti buat masa ini. Kami masih mengumpulkan maklumat di mana kawasan-kawasan yang kita boleh menang.

“Contoh di Selangor kita berminat untuk bertanding di kawasan seperti di Kuala Langat, Puchong dan Kota Raja. Tapi kami juga fokus kepada kerusi yang mempunyai persaingan sengit serta majoriti kemenangan oleh parti bertanding itu adalah tipis.

“Selangor adalah salah satu contoh tetapi kenapa tidak Perlis, Kedah, Melaka, Perak dan negeri-negeri lain? Tetapi perkara itu akan kami umumkan pada masa yang sesuai,” katanya kepada FMT.

Calon yang berkaliber

Menurut beliau, pembahagian kerusi itu tidak memerlukan perbincangan dengan mana-mana parti memandangkan Kita bukan seperti Pakatan Rakyat.

Maka pembahagian kerusi itu perlu menerusi perbincangan bersama dalam parti dan akan dimuktamadkan apabila mempunyai calon yang berkaliber.

Merujuk kepada kenyataan Penyelaras Pentadbiran Kita Selangor S Kottapan bahawa parti itu akan bertanding dalam 56 kerusi Dun Selangor, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Christopher Firdaus berkata perkara itu bergantung kepada calon yang bakal diketengahkan.

“Soal Kita mahu bertanding di Selangor itu bergantung kepada sumber-sumber dan calon. Jika ada yang mengetengahkan calon sekalipun ia perlu dipersetujui oleh parti terlebih dahulu dan akan disahkan oleh Pengarah Pilihan Raya Selangor Abdul Malek Shamsuddin.

“Kita memerlukan calon yang boleh menang dan kriteria tersebut diambil kira oleh parti. Namun perkara itu perlu mendapat persetujuan Datuk Zaid Ibrahim. Jika beliau kata Kita perlu bertanding semua kerusi…maka kita akan lakukan,” katanya.

FMT sebelum ini melaporkan bahawa menurut Kottapan Kita akan bertanding di semua 22 kerusi Parlimen Selangor termasuklah di peringkat Dun malah seramai 28 calon Melayu; Cina (18) dan India (10) bakal mewakili parti dalam PRU akan datang.

Tiada ulasan: