BERNAMA
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 27 April depan untuk mendengar hujahan dalam permohonan semakan kehakiman oleh portal berita Malaysiakini.com dan seorang penerbit buku kartun politik untuk mencabar keputusan menteri dalam negeri mengharamkan penjualan dua buku.
Hakim Datuk Rohana Yusuf menetapkan tarikh itu selepas
mengadakan perjumpaan dengan peguam K Shanmuga dan Peguam Kanan Persekutuan Noorhisham Ismail di dalam kamar.
Bercakap kepada pemberita Noorhisham berkata kedua-dua pemohon memerlukan masa untuk membalas afidavit jawapan yang difailkan oleh responden.
Sepatutnya permohonan itu didengar hari ini.
Shanmuga mewakili pemohon, MKINI Dotcom Sdn Bhd dan syarikat penerbitan Sepakat Efektif Sdn Bhd, manakala Noorhisham mewakili responden, iaitu menteri dalam negeri dan timbalannya.
Pada 8 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada MKINI Dotcom, yang mengendalikan Malaysiakini dan Sepakat Efektif, bagi pihak Zulkiflee SM Anwarul Haque, seorang kartunis politik dengan nama pena 'Zunar' untuk mencabar keputusan pengharaman dua buku -- '1 Funny Malaysia' dan 'Perak Darul Kartun'.
Dalam permohonan yang difailkan pada 26 Julai tahun lalu, MKINI Dotcom berkata buku versi Inggeris, '1 Funny Malaysia', diterbitkan oleh Malaysiakini pada November 2009 di mana hampir semua kartun dalam buku itu disiarkan dalam web Malaysiakini dari Oktober 2006 hingga November 2009, adalah kompilasi kartun yang dihasilkan oleh Zunar yang mengandungi kartun-kartun politik berbentuk sindiran atau satira mengenai isu polilik Malaysia dan pentadbiran.
Dalam permohonannya, syarikat penerbitan itu berkata buku versi Bahasa Melayu 'Perak Darul Kartun', diterbitkan pada November 2009 dan menyiarkan kartun politik oleh beberapa artis tempatan yang dipimpin oleh Zunar.
Mereka berkata pada 25 Mei tahun lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri bagi pihak menteri telah mengeluarkan perintah melarang penerbitan, produksi, penjualan, pengedaran atau pemilikan dua buku itu dengan alasan ianya memudaratkan ketenteraman awam.
MKINI berkata kartun dalam buku itu telah diterbitkan di lamanweb berkenaan lebih dua tahun dan buku itu telah berada di pasaran selama tiga bulan sebelum dirampas.
Sepakat Efektif pula mendakwa buku 'Perak Darul Kartun' telah berada di pasaran selama enam bulan sejak November 2009 dan mereka tidak menerima sebarang laporan mengenai buku itu mengancam ketenteraman awam.
Pemohon menuntut antara lainnya perintah membatalkan pengharaman buku itu dengan alasan pengharaman itu tidak sah kerana melanggar Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan juga bertentangan dengan Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan