Sabtu, 5 Mac 2011

Penoreh getah maut diserang gajah di Gua Musang

BERNAMA

GUA MUSANG — Seorang penoreh getah yang cuba menghalau sekumpulan gajah menggunakan mercun bola di sini, maut apabila diserang haiwan itu yang naik minyak akibat terkejut mendengar bunyi letupan mercun tersebut.

Lee Che Hassan, 46, maut selepas seekor gajah betina yang mempunyai anak mengamuk dan melilit beliau menggunakan belalai sebelum menghempas lelaki malang itu ke sebatang pokok dalam kejadian di Kampung Serian Batu 11, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Saiful Bahri Abdullah berkata Lee sebelum itu cuba menghalau sekumpulan enam ekor gajah liar yang memusnahkan tananam di kebun getahnya.

“Lee mati di tempat kejadian dengan berapa kesan lebam di kepala serta badan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata kejadian itu disedari rakan Lee di kebun getah bersebelahan, yang kemudian memaklumkan kejadian kepada penduduk kampung.

“Mereka ke tempat kejadian untuk membawa keluar mayat mangsa, namun gajah betina terbabit meluru ke arah mereka menyebabkan mereka menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi membantu menghalau kumpulan gajah tersebut,” katanya.

Saiful Bahri berkata mayat Lee berjaya dikeluarkan kira-kira empat jam kemudian dan dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Ini adalah insiden ketiga membabitkan serangan gajah liar di Kelantan sepanjang empat bulan kebelakangan ini.

Pada 23 Jan lepas seorang pekerja Ladang Fokus Bonanza Sdn Bhd, Bernardus Ngongo Naru, 24, cedera parah apabila dilibas dan dipijak seekor gajah liar, manakala pada 6 Dis lepas, seorang pemuda Muhamad Adnan Iberahim maut dipijak haiwan tersebut ketika beliau bersama empat rakan memasuki Hutan Bring dekat Pos Pasik, di sini bagi mencari buah keranji.

Tiada ulasan: