Sabtu, 12 Mac 2011

Pengusaha warung temui ayam berkaki empat

Elissa Helmy

Pengusaha sebuah warung di Jalan Solok Gaung, kampung Bukit Lintang, Melaka hari ini terkejut apabila menemui seekor anak ayam mempunyai empat kaki.

Anak ayam berkenaan didakwa baru sahaja beberapa hari menetas dan ditemui di dalam sebuah longkang yang letaknya tidak sampai 10 meter dari warung berkenaan.

NONEMenurut pengusaha warung terbabit, Md Sharif Abu, 67, dia pada mulanya cuba menyelamatkan anak ayam berkenaan daripada dihanyutkan air longkang yang ketika itu mengalir deras berikutan hujan.

Namun, bagaimanapun, katanya, setelah dibawa ke warung, baru disedari rupa-rupanya ia memiliki sifat yang pelik apabila berkaki empat.

"Ketika itu warung saya terdapat kira-kira enam orang pelanggan dan mereka pun terkejut apabila anak ayam yang saya temui berkaki empat.

"Asalnya ayam ini bersama ibunya dengan beberapa ekor anak ayam lain berjalan-jalan untuk mencari makanan sebelum salah seekor darinya terjatuh ke dalam longkang yang mempunyai kedalaman kira-kira 0.5 meter," katanya ketika ditemui di warung berkenaan hari ini.

Sangkar khas

Md Sharif berkata, dia bersetuju untuk menyerahkan ayam istimewa berkenaan kepada salah seorang pelanggannya, Osman Ab Majid, 53, iaitu seorang pesara tentera.

NONEMenurut Osman, ayam berkenaan disifatkan amat istimewa dan akan dijaganya dengan baik serta beliau berjanji akan menyediakan sebuah sangkar khas tempat anak ayam berkenaan.

Katanya, seumur hidupnya inilah kali pertama dia menemui ayam berkaki empat.

"Saya akan jaga dia kerana setahu saya sekiranya dibiarkan bersama ibunya dalam keadaan bersepah pasti ia akan mati. Ini kerana ayam ini adalah ayam liar dan tiada pemiliknya.

"Bagaimanapun, saya sedar untuk jaga anak ayam ini amat sensitif kerana ia mudah mati kalau tidak berhati-hati," katanya.

Jelas Osman, beliau bersedia berbincang dari segi harganya sekiranya ada pihak yang berminat untuk membelinya.

Tiada ulasan: