KUALA LUMPUR : Penduduk Ladang Bukit Jalil berjaya mendapatkan injunksi mahkamah bagi menghalang DBKL merobohkan penempatan yang didiami mereka sejak tahun 1930.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga peguam hak asasi manusia, N. Surendren berkata injuksi itu diperolehi semalam justeru memberikan masa 21 hari untuk menghalang pihak DBKL daripada meneruskan usaha perobohan penempatan penduduk.
Beliau juga mengecam tindakan DBKL yang menggunakan Ordinance Kecemasan yang bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Negara untuk menafikan hak rakyat.
"Salah satu alasan utama perolehan injunksi ini adalah kerana DBKL menggunakan Ordinan Kecemasan 1969 untuk cuba merobohkan penempatan ini. Ia salah kerana ia bukan penempatan haram untuk menggunakan ordinan tersebut. Mereka telah berada di sini beberapa generasi.
"Kedua, penggunaan ordinan itu sendiri adalah tidak berperlembagaan dan bercanggah di sisi undang-undang. Ini adalah undang-undang dari tahun 1969 dan digunakan untuk rusuhan 13 Mei 1969. Atas alasan itu hakim memberi kebenaran kerana penduduk di sini ada hak," jelas Surendren.
Sebelum ini, DBKL telah mengeluarkan notis untuk merobohkan penempatan pada 15 Mac melibatkan 40 buah keluarga dan sebuah sekolah Tamil.
Pengusiran secara paksa tersebut didakwa melanggar Artikel 11 (1), Kovenan Hak Asasi Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan dan Artikel 25, Deklarasi Hak Asasi Sejagat.
Susulan itu, demostrasi hari ini mendesak Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail agar menyelesaikan tuntutan mereka pada kadar segera namun tidak mendapat sebarang respon.
Menurut Surendren lagi, kerajaan telah berjanji untuk membina rumah teres di kawasan itu sejak 1976 selepas diambil alih daripada syarikat swasta, namun tiada penyelesaian sehingga kini.
Dalam pada itu peguam yang dilantik masyarakat Bukit Jalil, Faadiah Nadwa Fikri menjelaskan injunksi tersebut diperolehi lewat petang semalam dan telah dihantar kepada DBKL awal pagi tadi.
Beliau turut mengucapkan tahniah atas kerjasama penduduk memperjuangkan kepentingan masyarakat agar tidak ditindas mana-mana pihak.
"Tahniah dan syabas di atas perjuangan penduduk Bukit Jalil kerana kita telah berjaya mendapat perintah injunksi menghalang Datuk Bandar Kuala Lumpur daripada datang untuk merobohkan secara haram penempatan Bukit Jalil pada hari ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan