SINAR HARIAN ONLINE
TAMAN PERMINT - Seorang gadis penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) tidak mam-pu meluahkan kata-kata, sebaliknya air mata yang gugur di kelopak matanya sudah cukup menggambarkan penyesalan atas perbuatan dilakukan sebaik dia dibawa ke balai polis setelah dicekup penduduk kampung atas kesalahan khalwat.
Berikutan perbuatan sumbangnya mengunjungi rumah sewa selain berada dalam keadaan mencurigakan bersama teman lelaki di sebuah rumah sewa di taman perumahan, dekat sini, lewat senja kelmarin, gadis itu juga mungkin berdepan tindakan tatatertib termasuk disingkirkan dari IPT tersebut jika dia didapati bersalah oleh mahkamah.
Menceritakan detik hitam yang dialami itu, gadis terbabit yang difahamkan sedang mengikuti latihan amali berkata, dia sebenarnya dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu dan hanya singgah di rumah teman lelakinya itu untuk menukar pakaian.
Bagaimanapun, dia sama sekali tidak menyangka kunjungannya ke rumah sewa yang didiami beberapa penuntut lelaki yang juga rakan sekuliah itu membawa padah apabila tindak-tanduknya diperhatikan jiran tetangga sebelum memaklumkannya kepada pihak berkuasa.
“Tidak sangka pula gerak-geri diperhatikan penduduk kampung yang akhirnya menyebabkan saya boleh ditangkap khalwat,” katanya.
Pasangan terbabit, masing-masing penuntut IPT berdekatan dicekup penduduk kampung di sebuah rumah sewa di Taman Permint kerana berada dalam keadaan mencurigakan sebelum menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.
Pasangan remaja berusia belasan tahun itu ketika ditemui mengakui tidak berniat melakukan perbuatan sumbang, bagaimanapun keadaan mereka yang tidak mempunyai sebarang hubungan muhrim apatah lagi berada di rumah itu telah menimbulkan syak wasangka yang boleh menyebabkan mereka ditangkap khalwat.
Perempuan yang berasal dari Manir bersama teman lelakinya dari Marang itu dibawa ke Pejabat Agama Daerah Dungun untuk diambil keterangan sebelum disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir negeri Terengganu, jika didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan