Selasa, 22 Mac 2011

Pegawai SPRM menangis dalam prosiding suruhanjaya

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seorang Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menitiskan air mata dalam perbicaraan suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

Prosiding diberhentikan kira-kira 15 minit bagi memberi peluang Mohd Anuar Ismail menenangkan diri sebelum menyambung semula keterangannya.

Mohd Anuar beremosi sedemikian selepas ditanya berkali-kali berkaitan tindakannya selepas melihat mayat Teoh dan perasaannya selepas itu.

Beliau yang ditanya anggota Suruhanjaya iaitu Pakar Perunding Psikiatri Forensik Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom mengapa beliau menangis memberitahu ia kerana tekanan diterimanya dan SPRM hingga memberi impak yang besar.

"Kes ini yang kita buat ini (suruhanjaya) berkaitan dengan saksi SPRM, kami teruk kena, yang teruk adalah saya sebagai pegawai penyiasat, paling teruk SPRM, kami (SPRM) dalam keadaan sukar, kerja kami teruk hinggakan panggil saksipun orang tak nak datang.

"Ia beri kesan kepada SPRM," katanya yang dipanggil sebagai saksi ke-23 dalam prosiding berkenaan.

Sebelum itu, Mohd Anuar berkata dia amat terkejut apabila melihat mayat Teoh di tingkat lima koridor Plaza Masalam dan beliau diarah ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk berjumpa dengan Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim (ketika itu) bersama Pemangku Penolong Pesuruhjaya SPRM Hairul Ilham Hamzah.

"Saya amat terkejut (lihat mayat Teoh). Dia saksi yang bersama dengan saya yang masih hidup sebelum itu dan hari ini (16 Julai 2009), dia dalam keadaan begitu (telah mati). Saya terkejut bagaimana keadaan dia begitu," katanya.

Katanya, dalam perjalanan ke Putrajaya beliau sempat melahirkan kebimbangannya kerana Teoh adalah saksi mereka dan berita menerusi akhbar sejak dua minggu sebelum kejadian telah menyiarkan gambarnya bersama Teoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

"Kami (beliau dan Hairul Ilham) menjangkakan kemarahan keluarga, rakan sekerja dan kawannya akan ditujukan kepada saya dan SPRM," katanya.

Ditanya adakah beliau bertanggungjawap di atas kematian Teoh, Mohd Anuar berkata:" Tidak, kerana saya telah melakukan tugas sebaik mungkin dan sama ada saya salah atau tidak saya serah pada panel (suruhanjaya). Kebimbangan saya adalah kerana gambar saya keluar dalam akhbar. Orang mesti akan cari saya."

Dalam perjalanan ke Putrajaya itu, Mohd Anuar telah singgah ke rumah selama lima minit untuk menemui isterinya dan memberitahu tentang kematian Teoh dan kebimbangannya.

Katanya perjumpaan itu hanya untuk meluahkan perasaan bimbang dan bukannya kerana rasa bersalah lagipun beliau ingin memberitahu supaya isterinya berhati-hati dan menjaga keselamatan diri dan anak-anak.

"Saya singgah lima minit untuk luah perasaan saya. Ada juga beberapa perkara penting saya beritahu iaitu ada mayat saksi di tingkat bawah. Isteri juga ada maklumkan pada saya petang itu (16 Julai 2009) bahawa ada beberapa kereta berada di luar rumah dan saya suruh dia pindah ke tempat lain," katanya.

Mengenai soalan Mohamed Hatta adakah beliau hanya bimbangkan tentang keselamatan diri, organisasi (SPRM) dan keluarga sahaja tanpa bersimpati terhadap Teoh, Mohd Anuar berkata:"Saya bersimpati pada keluarga dia tetapi itu di luar kawalan."

Mohamed Hatta: "Kamu ada berasa tak kecuaian kamu sebabkan kejadian?."
Mohd Anuar:" Saya rasa tiada kecuaian."

Mohamed Hatta: "Dalam dua tahun ini (lepas kematian Teoh), kamu ada rasa bersalah?"

Mohd Anuar:"Tidak bersalah tetapi terkilan."

Mohamed Hatta:"Selalunya jika terkilan, jika diulang balik peristiwa malam itu, mungkin ada pada perasaan untuk cegah perkara ini.?"

Mohd Anuar:"Ada."

Mohamed Hatta:"Bagaimana kamu nak cegah?."

Mohd Anuar:"Jika dia hendak berehat, kami akan berehat bersama dia.Jika dia hendak balik kami akan hantar dia ke pintu, tak boleh biar macam tu sahaja."

Ekoran kejadian yang berlaku, Mohd Anuar memberitahu Suruhanjaya supaya pegawai SPRM diberi latihan yang mencukupi dan bukannya enam bulan sahaja.

Seboleh-bolehnya dilatih oleh pihak dari luar negara bagi menambahbaik sistem SPRM.

Katanya keselamatan pejabat juga diutamakan dengan memasang jeriji pada tingkap, kedudukan pejabat bukan di bangunan yang tinggi serta ruang rehat yang mencukupi untuk pegawai bertugas.

Pada awal prosiding Mohd Anuar berkata bahawa pegawai bawahannya ada memberitahu bahawa Teoh mahu berehat di pejabat selepas merakam percakapan dan Teoh dibiarkan bergerak bebas di dalam pejabat.

Mengenai kemungkinan Teoh menceroboh dan menganas di dalam pejabat SPRM selepas di soal siasat, Mohd Anuar berkata Teoh tidak akan berkelakuan sedemikian kerana melihat kepada perwatakan, Teoh adalah seorang yang berjiwa lembut.

Suruhanjaya ini dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan selain Mohamed Hatta ia turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.Selventhiranathan dan Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan itu.

Prosiding disambung esok.

Tiada ulasan: