Sabtu, 19 Mac 2011

Najib Dan Taib Cuba "Mengubat" Keresahan Pengundi Sarawak

TVS NEWS


KUCHING : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Taib Mahmud cuba melaksanakan serampang dua mata untuk mendesak pengundi di Sarawak supaya tidak menolak Barisan Nasional pada pilihanraya negeri yang bakal diadakan.

Taib, yang dicalar dengan dakwaan rasuah, penyelewengan kuasa dan rampasan tanah adat penduduk asal, berjanji untuk melepaskan jawatan itu selepas pilihanraya berkenaan yang perlu diadakan sebelum Julai ini.

Manakala pada majlis berasingan, Najib meminta golongan muda di Sarawak memberikan sokongan dan kepercayaan kepada beliau sebagai Perdana Menteri bagi membawa masa depan yang lebih baik untuk Sarawak.

Tanpa merujuk kepada pemerintahan Taib selama 30 tahun, Najib mengaku kerajaan yang ada sekarang " mungkin tidak sempurna," tetapi menegaskan pihaknya akan mencuba sedaya upaya untuk melindungi kepentingan rakyat.

Sebelum itu, Taib berkata "kemungkinan" beliau meletak jawatan semakin "hampir" namun ia hanya akan berlaku selepas pilihanraya negeri.

"Saya tetap akan memimpin (BN) pada pilihanraya negeri tetapi hanya untuk memastikan segalanya berjalan lancar," kata Taib.

"Saya akan memimpin (BN) dalam pilihanraya ini...tetapi selepas itu apabila orang yang saya asuh boleh membentuk sebuah pasukan yang berjuang untuk negara ini dan untuk rakyat pelbagai kaum...baru saya akan berundur," kata Taib.

Kenyataan terbaru Taib itu dilihat sebagai cubaan untuk 'mengubat" keresahan rakyat Sarawak yang semakin menolak kepimpinan beliau, termasuk mereka yang sebelum ini penyokong tegar Barisan Nasional.

Semalam badan pemantau anti-rasuah , Transparency International-Malaysia (TI-M) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Presidennya, Datuk Paul Low menyifatkan dakwaan-dakwaan yang membabitkan ratusan juta ringgit itu sebagai rasuah luar biasa dan penyalahgunaan kuasa yang boleh menyebabkan indeks rasuah negara terus merosot.

Beliau turut menggesa agensi-agensi penguatkuasa yang lain seperti Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara, untuk menyiasat Taib berhubung kemungkinan berlakunya aktiviti kewangan yang tidak sah.

Semalam, Taib membayangkan kemungkinan beliau akan mengumumkan pembubaran Dewan Undang Negeri bagi membolehkan pilihanraya negeri diadakan.

Kehadiran Perdana Menteri dan Timbalannya Muhyiddin Yassin di Sarawak sejak semalam menguatkan desas-desus pengumuman itu akan menjadi kenyataan

Tiada ulasan: