Jumaat, 25 Mac 2011

MP Sibu kesal 'Iklan' kerusi Dudong

BERNAMA

Adakah satu lagi krisis dalaman menyelubungi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Sibu berhubung pemilihan calon bagi pilihan raya negeri akan datang?

Ini susulan iklan satu muka penuh dalam akhbar harian berbahasa Cina bertarikh 21 Mac, yang mengeluarkan 'amaran' terhadap pihak yang 'mengganggu' kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong.

Penyandangnya ialah Datuk Dr Soon Choon Teck yang menyuarakan hasrat untuk mempertahankan kerusi itu sungguhpun Presiden parti Tan Sri Dr George Chan telah mengumumkan bahawa beliau dan Dr Soon bercadang untuk bersara.

Khabar angin bertiup kencang bahawa Anggota Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King bakal menggantikan Dr Soon.

Mengulas mengenai iklan itu, Tiong berkata beliau kesal kerana beberapa pihak tertentu bertindak melakukan taktik kotor seperti itu.

"Ia bertujuan mencemarkan imej politik saya dan ini amat mengecewakan. Ia ada motif yang terselindung," katanya kepada pemberita di Sibu hari ini.

Tiong berkata beliau masih memikirkan sama ada untuk bertanding bagi kawasan Dudong meskipun, menurutnya, Dr George Chan dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah memaklumkan kepadanya tentang hasrat mereka supaya beliau bertanding bagi kerusi Dudong.

"Bukanlah sifat saya untuk menuntut kerusi itu. Terpulang kepada kepimpinan pusat parti untuk membuat keputusan berhubung semua kerusi dan calon, bukan hanya kerusi Dudong sahaja. Kami akan akur dengan apa jua keputusan yang dibuat," katanya.

Tiong, Setiausaha SUPP cawangan Sibu, juga adalah pengerusi Majlis Perbandaran Sibu.

Baru-baru ini, Persatuan Chiang Chuan di sini menyatakan sokongannya kepada Dr Soon - satu-satunya anggota daripada komuniti Hokkien yang dipilih sebagai wakil rakyat di wilayah tengah negeri ini - supaya dikekalkan untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Kerusi Dudong turut menjadi tumpuan kontroversi apabila Dr Soon ingin menubuhkan cawangan Dudong namun gagal memperoleh kebenaran SUPP cawangan Sibu yang menentang cadangan itu kerana menurutnya, tidak dilakukan mengikut prosedur yang betul.


Tiada ulasan: