Jumaat, 4 Mac 2011

MIED: Samy Vellu hadapi tekanan baru, ahli gesa berundur

KUALA LUMPUR — Institut Kemajuan Pendidikan Maju (MIED), sayap pendidikan MIC yang berhadapan dengan tindakan mahkamah tahun lalu, dikejutkan dengan isu terbaru — tiga orang ahlinya menggesa Datuk Seri S. Samy Vellu supaya melepaskan jawatan pengerusi lembaga pemegang amanahnya.

Turut diminta berundur ialah seorang pemegang amanahnya Tan Sri Dr T. Marimuthu.

Malah perkara ini muncul dua hari selepas Samy Vellu menafikan beliau bertindak mahu “melarikan” MIED daripada genggaman MIC.

Notis agar langkah itu diambil dengan mengadakan mesyuarat agung tergempar (EGM) telah dihantar kepada sekretariat MIED kelmarin.

Notis rekuisisi itu ditandatangani oleh bekas timbalan presiden MIC Datuk S. Subramaniam, bekas Ketua Pemuda MIC A. Vigneswaran dan bekas Adun Kedah Datuk S. Ganesan, yang juga ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC.

“Ya, notis untuk meminta Datuk Seri Samy Vellu dan Tan Sri Marimuthu melepaskan jawatan masing-masing sehingga kes ke atas mereka dan defendan-defendan lain selesai... saya tidak kisah mereka memegang jawatan mereka selepas kes ini selesai,” kata kata Subramaniam ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Ini adalah kes (yang dibawa Vigneswaran) serius, di mana Samy Vellu dan pihak-pihak yang terbabit harus berhenti menjadi pemegang amanah buat sementara,” katanya.

Sehubungan itu, Subramaniam berkata beliau memutuskan untuk menyertai usaha membawa notis rekuisisi demi bagi memastikan MIED kekal sebagai entiti MIC.

“Saya bersetuju untuk menandatangani atas hasrat saya juga mahu menyelamatkan MIED, di mana MIED mesti kekal dalam MIC,” kata Subramaniam yang melahirkan pendirian yang sama dua tahun lalu.

MIED lazimnya mengadakan mesyuarat agung tahunan pada April atau Mei.

The Malaysian Insider difahamkan dua lagi pemegang amanahnya Tan Sri M. Mahalingam dan Tan Sri K. Kumaran sudah tidak lagi menganggotai MIED Capital selepas isu pengurusan MIED muncul, tetapi Samy Vellu dan Marimuthu masih meneruskan perkhidmatan di MIED.

Samy Vellu, yang akan genap 75 tahun Rabu depan, memanggil mesyuarat lembaga pemegang amanahnya Isnin ini, yang antara lain akan menambah keahlian baru seramai 10 orang.

MIED kini mempunyai 30 ahli dan ada yang mendakwa Samy Vellu mahu menambah 10 ahli baru bagi memantapkan kedudukan beliau dalam MIED.

Atas faktor usia dan peruntukan di bawah Akta Syarikat, Samy Vellu juga memerlukan sokongan 75 peratus ahlinya untuk kekal sebagai pengerusinya.

Justeru dakwaan mengatakan beliau berbuat demikian untuk mendapatkan lebih ramai sokongan ahli-ahlinya.

Kelmarin, bekas menteri Kabinet pusat itu dan kini duta khas ke rantau Asia Selatan mengakui agenda itu sambil memberi jaminan bahawa MIED, yang mempunyai aset sekitar RM1 bilion, akan kekal sebagai entiti milik MIC sambil menafikan dakwaan bahawa ada usaha di pihaknya untuk “melarikan” sayap pendidikan itu.

Malah kata beliau, dakwaan itu juga bertujuan merosakkan hubungan beliau dengan penggantinya Datuk G. Palanivel.

Samy Vellu berkata MIED, yang ditubuhkan pada 1984 ketika era kepimpinannya, akan kekal sebagai sebahagian MIC dan aktiviti harian akan diuruskan oleh MIED sebagaimana diamalkan sebelum ini.

Sehubungan itu kata Samy Vellu, beliau sentiasa berhubungan dengan Palanivel dan “kami sentiasa mendapatkan nasihat satu sama lain berkenaan urusan MIED.”

Sejak penubuhannnya, Samy Vellu bertindak sebagai pengerusi lembaga pemegang amanahnya.

Pada 10 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi tempoh 30 hari kepada Samy Vellu, selaku pengerusi MIED dan tujuh pemegang amanahnya membekalkan beberapa dokumen dalam saman RM100 juta terhadap mereka oleh MIED.

Hakim Mahkamah Dagang Datuk Abdul Aziz Rahim memerintahkan mereka membekalkan dokumen berkenaan termasuk yang berkaitan dengan pembinaan Institut Sains Perubatan dan Teknologi Asian (AIMST), yang didakwa telah menyebabkan kerugian besar kepada cabang pendidikan MIC itu.

Vigneswaran memohon supaya para defendan membekalkan salinan surat pelantikan bekas ketua pegawai eksekutifnya P. Chitirakala dan skop tugasnya.

MIED memohon sebanyak 12 dokumen selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Mah Weng Kwai pada 14 Jun membenarkan permohonan untuk menamakan MIED sebagai plaintif dalam cadangan saman terhadap para pemegang amanah MIED.

Selain bekas presiden MIC Samy Vellu, Palanivel, Mahalingam, Marimuthu, Tan Sri Dr S.K. Ampikaipakam, Tan Sri Dr K.S. Nijhar, K. Kumaran dan Tan Sri G. Vadiveloo dinamakan sebagai defendan.

Dalam saman yang difailkan pada 5 Julai lalu, MIED mendakwa kesemua defendan telah melakukan kecuaian, kesalahan aturan kewangan, kemungkiran tanggungjawab sebagai pemegang amanah, juruaudit, dan fidusiari, yang telah membawa kerugian besar kapada MIED.

Ia juga memohon perintah injunksi bagi menghalang dan menyekat Samy Vellu daripada terus berkhidmat sebagai pengerusi lembaga pemegang amanah, mahu Samy Vellu dilucutkan keahlian beliau dari MIED dan perintah supaya Samy Vellu mengembalikan kesemua wang dan atau apa keuntungan dan kepentingan dari dana MIED yang telah diterima olehnya (Samy Vellu) sama ada secara langsung atau melalui ahli keluarga beliau atau kawan rapat beliau.

MIED mahu perintah mahkamah bahawa Samy Vellu membayar balik kesemua kerugian yang telah dialami oleh MIED dalam tempoh masa di mana beliau telah mentadbir sebagai pengerusi lembaga pemegang amanah.

Vigneswaran, yang merupakan seorang anggota MIED, memohon kebenaran mengikut ketetapan Seksyen 181A, Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan pihak-pihak yang mahu dinamakan bagi pihak syarikat sebagai plaintif dalam saman itu, perlu mendapatkan kebenaran daripada mahkamah untuk berbuat demikian.

Dalam pada itu, Ganesan juga mengesahkan penghantaran notis rekuisisi agar Samy Vellu dan Marimuthu berundur memandangkan sudah ada kes ke atas mereka.

“Lagipun selama ini beliau menjadi pengerusi, ahli-ahli MIC tidak kisah kerana ketika itu beliau merupakan presiden MIC.

“Tetapi, sekarang beliau harus menyerahkan kedudukan itu kepada presiden baru (Palanivel),” kata Ganesan, seorang peguam, yang membangkitkan isu MIED akan “dilarikan” pada mesyuarat CWC MIC akhir 2009.

“Saya sudah pun membangkitkan perkara ini, dua tahun lalu . . . Datuk Seri Samy pernah tanya pandangan saya ketika mesyuarat CWC (2009) dan saya berkata MIED harus kekal bersama MIC,” katanya sambil menegaskan, beliau masih kekal dengan pendirian seumpama itu.

Tiada ulasan: