Ahad, 6 Mac 2011

Merlimau: Undi BN diramal naik, Pakatan kekal sokongan Cina

TERKINI

KUALA LUMPUR — Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Merlimau esok “sudah boleh dijangka” tetapi arah aliran sokongan bukan Melayu khususnya masyarakat Cina diramal”kekal” di tangan Pakatan Rakyat, demikian menurut kajian Ilham Centre.

Pengundian pilihan raya kecil serentak itu diadakan esok.

“Ilham Centre melihat status quo kerusi Umno-BN di Merlimau dapat dikekalkan oleh BN-Umno.

“Peratusan pengundi kepada BN dilihat melonjak sedikit berbanding keputusan pilihan raya 2008. Ini disimpulkan berdasarkan kelebihan yang dimiliki oleh BN-Umno,” demikian menurut kenyataan dikeluarkan hari ini.

Namun kata Ilham Centre, BN masih gagal memperoleh keyakinan kalangan poengundi masyarakat Cina untuk menyokong Umno-BN dengan gerakan yang konsisten oleh jentera DAP dalam membantu PAS di sini.

PAS bergandingan dengan DAP dan PKR di bawah Pakatan Rakyat.

“Bebanan sekarang tertanggung di atas bahu PAS dalam meyakinkan pengundi Melayu khususnya untuk menterjemahkan kepada undi dalam tempoh terdekat sebelum tempoh berkempen tamat tengah malam ini,” katanya lagi.

Ilham Centre berkata, jika diukur pada respons pengundi kepada kempen oleh jentera perikatan itu yang begitu dominan menenggelamkan kekuatan PAS.

Menurut Ilham Centre, jika dilihat dari segi kekuatan calon, Roslan Ahmad dari BN lebih terkehadapan dengan 80.8 peratus dikenali oleh responden manakala calon PAS, Yuhaizat Abdullah hanya mencattatkan 55.8 peratus populariti.

Pun begitu, kajian juga menunjukkan jentera DAP dilihat begitu bersungguh-sungguh meyakinkan pengundi Cina untuk menolak BN dalam kempen mereka.

“Mereka juga begitu komited menjaga peti-peti undi majoriti Cina bagi memastikan jentera MCA tidak akan memanipulasi perubahan undi Cina kepada BN dalam pilihan raya ini. Paten pengundi Cina di sini dijangka kekal.

Kajian ini telah dijalankan pada 2 dan 3 Mac lalu untuk melihat perspektif pengundi terhadap parti, calon dan kecenderungan pengundian mereka.

Tinjauan ini dilakukan di semua daerah mengundi iaitu Pangkalan Saman, Permatang Serai, Merlimau Pasir, Merlimau Utara, Jasin Lalang, Chin Chin dan Ayer Merbau dengan menemu bual 423 pengundi berdaftar secara bersemuka.

Ilham Centre juga berkata, kajian mereka menunjukkan kekuatan dan gerakan agresif jentera bersepadu BN melalui eksploitasi media arus perdana, jentera kerajaan peringkat negeri dan persekutuan seakan tidak termampu untuk jentera PAS yang turun sekadar ala kadar mengimbangi persaingan demokrasi kali ini.

“Akibatnya, pengundi tenggelam perhitungan dangan kempen BN yang lebih mengasak dan mendesak survival pengundi dari aspek keselamatan sosial dan janji habuan selepas pilihan raya,” katanya.

Oleh itu katanya, keputusan pilihan raya kecil kerusi Merlimau dijangka memihak kepada calon BN dengan majoriti lebih besar daripada keputusan pilihan raya umum 2008.

Malah menurut Ilham Centre, hasil kajian Merlimau seakan selari dengan beberapa paten populasi dalam pilihan raya kecil lainnya yang mana memperlihatkan kecenderungan utama pemilihan pengundi masih meletakkan kepada kekuatan parti berbanding calon dan isu.

“Faktor parti diwakili 63.8 peratus daripada keseluruhan responden,” katanya lagi.

Mengenai jenis isu yang mempengaruhi pengundian responden, Ilham Centre berkata, ternyata isu tempatan adalah lebih dominan berbanding isu nasional apabila isu tempatan mencatatkan 49.2 peratus berbanding isu nasional hanya sebanyak 18.9 peratus.

Antara isu serangan kepada peribadi calon PAS ialah mengenai kredibiliti Yuhaizat yang mendiami di kuarters kerajaan di atas kelayakan isterinya sebagai sebagai guru, yang dilihat oleh Umno sebagai seorang calon tidak ada kredibiliti mencatatkan sebanyak 42.6 peratus iaitu sedikit sebanyak mempengaruhi pola pengundian.

“Isu-isu tempatan lain ialah isu kemudahan awam yang kurang memuaskan dan isu pemilikan tanah,” kata firma kajian ini.

Ilham Centre juga berkata, berdasarkan pemerhatian perbandingan dalam siri-siri pertembungan PAS dan Umno dalam pilihan raya kecil, pertembungan di Merlimau memperlihatkan jentera tidak dikoordinasi dengan kekuatan yang optimum.

“Berdasarkan respons daripada dapatan lapangan seakan mengesahkan bahawa kehadiran PAS dalam pertembungan PAS dengan Umno hanya sekadar mencabar dan ‘berdakwah’ dan bukannya hadir untuk mencapai kemenangan.

“Penyusunan siri-siri ceramah dan kempen yang melibatkan kepimpinan parti ini juga tidak menampilkan sepenuh kekuatan parti ini dalam usaha mencabar jentera BN-Umno yang agresif,” katanya lagi.

Ia juga menambah, calon PAS juga terlalu mengikut rentak dan liuk lentok serangan BN-Umno dan ia melihat kepada kenyataan media dan ceramah beliau menjawab semua serangan pihak lawannya seakan ia ingin memenangi hujah.

“Ini jelas dan ketara seolah melihatkan calon PAS seakan bermasalah dan sepatutnya memberi tumpuan dalam usaha kepada rayu undi dan menjelaskan dasar-dasar Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

Ilham Centre juga berkata, kempen PAS kurang mendasar atau merapat kepada akar umbi berbanding jentera Umno.

“Berdasarkan perbandingan gerakan kempen yang efektif, BN mempunyai kelebihan berbanding dengan PAS. Jentera BN yang dilihat mengeksploitasi segala kelebihan terutama jentera kerajaan negeri dan pusat untuk menyokong parti yang bertanding seakan mengunci kempen PAS dalam pilihan raya kali ini.

“Kempen PAS tidak mendasar dan terus kepada pengundi, sebaliknya hanya bergantung kepada risalah yang terhad menyekat peluang PAS meyakini pengundi di sini. Rata-rata responden tidak terkesan dengan penerangan oleh PAS berbanding BN-Umno,” katanya.

Menerusi maklum balas di kalangan pengundi di Merlimau, kata Ilham Centre, kekuatan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam agak signifikan kepada penduduk setempat walaupun imej beliau di peringkat nasional agak buruk.

“Kempen 1 Malaysia yang dibawa oleh jentera BN kelihatan diterima di peringkat bawahan. Ini boleh dilihat apabila 56.5 peratus responden memberikan respons positif kepada kempen ini,” katanya lagi.

Tiada ulasan: