KUALA LUMPUR — MCA, komponen Barisan Nasional (BN), sebulat suara memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan bulan ini.
Perkara itu diputuskan pada mesyuarat agung tahunan luar biasa (EGM) yang diadakan di sini pagi ini.
Keputusan meminda perlembagaan itu, yang dibuat dengan mengangkat tangan, juga membolehkan parti tersebut mengelakkan kemungkinan perpecahan dalam parti jika persaingan sengit disaksikan.
Penangguhan pemilihan dibuat di sebalik spekulasi bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun ini.
Seramai 1,827 daripada 1,844 perwakilan menghadiri EGM yang berlangsung di Wisma MCA, bersetuju untuk meminda Perkara 167 perlembagaan parti.
Speaker Datuk Yik Phooi Hoong membuat pengumuman pada pukul 10.45 pagi tadi bahawa pindaan diluluskan dengan sebulat suara.
Sejumlah 1,827 perwakilan menyokong usul menangguhkan pemilihan parti dan usul meminda perlembagaan parti manakala 14 perwakilan berkecuali dan tiga pewakilan tidak menyokong usul berkenaan.
Parti itu memutuskan untuk mengadakan EGM hari ini selepas 93 peratus atau 2,201 daripada 2,362 perwakilan pusat MCA menandatangani petisyen bersetuju untuk mengadakan EGM bagi menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan tahun ini.
Bercakap kepada pemberita selepas EGM itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata keputusan itu menunjukkan para perwakilan pusat adalah matang yang telah meletakkan kepentingan parti mendahului kepentingan peribadi bagi membolehkan parti membuat persediaan rapi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada para perwakilan yang hampir 100 peratus bersetuju dengan penangguhan ini. Semua ini dilakukan bagi membolehkan parti memberi tumpuan pada persediaan untuk pilihan raya umum akan datang.
“MCA akan memberikan kerjasama dan tumpuan sepenuhnya bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan