Rabu, 9 Mac 2011

Mahathir: Ku Li tak sabar, hilang peluang jadi perdana menteri

TERKINI


Orang ramai memilih buku terbaru mengenai Dr Mahathir Mohamad di kedai buku MPH di ibu negara hari ini. — Foto oleh Choo Choy May

KUALA LUMPUR — Tengku Razaleigh Hamzah sepatutnya telah menjadi perdana menteri sekiranya beliau bersabar sedikit, kata Tun Dr Mahathir Mohamad dalam buku autobiografi yang dikeluarkan hari ini.

Tengku Razaleigh mencabar Dr Mahathir pada pemilihan Umno 1987 tetapi tewas tipis.

Beliau bergandingan dengan Tun Musa Hitam yang bersaing jawatan timbalan presiden Umno.

Bekas perdana menteri itu juga mendakwa puak “Team B” yang diketuai oleh Tengku Razaleigh, yang lebih mesra dikenali sebagai “Ku Li”, membawa kempen kotor untuk menjatuhkan beliau pada pemilihan itu, yang kemudiannya menyumbang kepada keputusan mahkamah mengharamkan Umno.

“Sekiranya Tengku Razaleigh bersabar beliau kemungkinan telah menggantikan tempat Tun Musa sebagai timbalan perdana menteri dan kemudiannya menjadi perdana menteri,” tulis Dr Mahathir dalam buku berjudul “A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad.”

“Malah saya juga telah mempertimbangkan untuk melantik semula Tengku Razaleigh ke dalam Kabinet, tetapi selepas beliau memberikan temu bual kepada majalah Far Eastern Economic Review yang sangat kritikal tentang saya dan kerajaan, saya telah mengubah fikiran saya,” katanya lagi.Dr Mahathir juga berkata beliau tiada sebarang masalah dengan Musa, yang merupakan timbalannya dari 1981 hingga 1987 tetapi kemudian bergandingan dengan Tengku Razaleigh dalam pemilihan parti.

Katanya beliau telah melantik Musa untuk memegang pelbagai jawatan seperti duta khas ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan taraf menteri pada 1990 dan kemudian sebagai Pengerusi Suhakam pada 1999.

Perdana Menteri paling lama ini juga mendakwa “Team B” Tengku Razaleigh telah menggunakan politik wang dalam kempen pemilihan ketika itu.

“Kami juga mendengar yang Team B membelanjakan kira-kira RM20 juta ketika kempen mereka dengan kebanyakan wang disediakan oleh Tengku Razaleigh sendiri,” kata Dr Mahathir.

“Pengundian dihentikan di tengah jalan untuk ahli-ahli menunaikan solat Jumaat, tetapi penyokong-penyokong Team B menggunakan waktu itu untuk berkempen.

“Malah mereka juga ikut perwakilan yang disasarkan ke hotel-hotel mereka, malah ke tandas, dan saya diberitahu bahawa banyak wang bertukar tangan,” kata beliau dengan merujuk kepada pemilihan pada 24 April 1987.

“Mereka juga mengedarkan gambar saya dengan seorang perempuan Cina, yang mereka dakwa sebagai isteri Singapura saya.

“Sebenarnya dia isteri rakan universiti saya dan gambar itu diambil ketika majlis perkahwinan anak perempuan mereka,” katanya lagi.

Kata Dr Mahathir, oleh kerana beliau memperoleh pencalonan dua kali ganda berbanding Tengku Razaleigh tidak nampak keperluan untuk berkempen sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika itu ketua Pemuda Umno, menggesanya agar berkempen dengan serius.

“Beliau tahu bahawa nasibnya terikat dengan (kedudukan) saya dan jika saya kalah, beliau juga akan dikuburkan,” tulis Dr Mahathir.
Dr Mahathir memperoleh 761 undi untuk menewaskan Tengku Razaleigh yang menerima 718.

Tiada ulasan: