Jumaat, 18 Mac 2011

Kita beri sokongan moral kepada SNAP

Kita rasa 'selesa' bekerjasama dengan SNAP yang juga parti Pakatan pembangkang (PAS, PKR dan DAP).

PETALING JAYA: Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) akan memberi sokongan moral kepada Parti Nasional Sarawak (SNAP) dalam pilihan raya negeri Sarawak kelak.

Perkara itu disuarakan Setiausaha Kita, Abd Latif A Tambi sambil menyifatkan sokongan itu disebabkan ‘keselesaan’ bekerjasama dengan

SNAP yang juga parti Pakatan pembangkang (PAS, PKR dan DAP).

Menurut Abd Latif, Kita juga sentiasa bersikap terbuka dalam memberi bantuan dan sokongan jika diperlukan SNAP.

Beliau berkata, “Ketua parti Datuk Zaid Ibrahim berpendirian Sarawak untuk parti tempatan Sarawak…..Sabah untuk Sabah. Apa sahaja perbincangan, Kita tidak mahu campurtangan.

“Walaupun Kita tiada perjanjian rasmi tapi parti sedia memberi bantuan jika mahu tenaga kerja, kita akan bantu.

“Kita tiada sebarang agenda tersembunyi selain merasa selesa bekerjasama dengan SNAP,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kita di sini hari ini.

Ketika ditanya mengapa sokongan itu hanya untuk SNAP dan bukan parti lain, Abd Latif berkata ini kerana Kita dan SNAP mempunyai visi yang sama. Kita sokong SNAP sebab ia parti tempatan,” katanya ringkas.

Menurut Abd Latif, Kita belum ada rancangan untuk bertanding di negeri Bumi Kenyalang itu.

“Tetapi sekiranya Datuk Zaid membuat keputusan sebaliknya maka Kita berkemungkinan akan bertanding di Sarawak,” katanya.

Tiada ulasan: