Selasa, 8 Mac 2011

Kes Beng Hock : Pegawai SPRM Dibidas Lupa Fakta

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dibidas Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat punca kematian bekas setiausaha EXCO Selangor, mendiang Teoh Beng Hock, kerana lupa fakta kejadian tersebut.

Penolong Pegawai Penguatkuasa SPRM, Mohd Ashraf Mohd Yunus ditegur oleh pesuruhjaya T Selventhiranathan kerana mendakwa tidak boleh mengingati perbualan antara seorang pegawai SPRM dan Beng Hock pada 15 Julai, 2009.

Mohd Asraf tatkala itu dikatakan membantu seorang lagi pegawai penguatkuasa, Arman Alies menyoal siasat mendiang berhubung dakwaan salah guna dana oleh EXCO Selangor yang juga ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, dua tahun lalu.

“Nampaknya, awak macam ada daya ingatan terpilih. Ini kes yang penting dan orang ramai akan mengingati butirannya tetapi awak asyik mengatakan tidak ingat,” kata Selventhiranathan, seorang daripada lima anggota panel suruhanjaya itu.

Mohd Ashraf, yang tampil sebagai saksi hari ini gagal mengingat kembali jawapan mendiang berhubung soalan atau butiran mengenai apa yang ditanya oleh rakannya, Arman.

Mendiang Beng Hock ditemui mati di Tingkat 5 Plaza Masalam setelah disoalsiasat semalaman oleh SPRM 16 Julai 2009.

Seorang lagi ahli pesuruhjaya, Abdul Kadir Sulaiman, turut kecewa dengan jawapan yang diberikan Mohd Ashraf dan menganggap keterangannya sebagai 'anti-klimaks”.

“Semua yang penting, awak kata tak ingat. Kami akan berikan awak 20 minit, cuba awak ingatkan kembali,” kata Abdul Kadir

Tiada ulasan: