Rabu, 23 Mac 2011

KERAJAAN TERENGGANU GAGAL TARIK PELANCONG

http://buletinonline.net/images/stories/berita42/wsukairi.jpgBULETIN ONLINE

KUALA TERENGGANU - Sasaran untuk menarik seramai 4 juta pelancong ke negeri Terengganu pada tahun lalu, gagal apabila hanya kira-kira 2.5 juta pelancong dari dalam dan luar negara melawat negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan Negeri, Datuk Abdul Rahim Mohd Said yang dipetik dari blog rasmi kerajaan.

"Pada 19 Februari tahun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, (ketika itu) Datuk Za'abar Mohd. Adib berkata kerajaan negeri menyasarkan kedatangan pelancong ke negeri ini akan mencecah kira-kira 4 juta orang pada tahun 2010,

"manakala, menurut blog rasmi tersebut yang bertarikh 22 Mac, 2011, hanya kira-kira 2.5 juta pelancong dari dalam dan luar negara melawat negeri ini sepanjang tahun lalu (2010),"ujarnya ketika dihubungi.

Menurut Wan Sukairi, kenyataan tersebut menunjukkan kegagalan kerajaan Terengganu sekali gus membuktikan perbelanjaan jutaan ringgit bagi menyediakan produk pelancongan adalah sia-sia.

Bahkan, kata Wan Sukairi, ia merupakan kegagalan dua tahun berturut-turut usaha kerajaan negeri menarik kedatangan pelancong ke negeri Terengganu.

"Sasaran kedatangan pelancong pada tahun 2009 adalah 3.5 juta namun kedatangan pelancong pada tahun tersebut hanyalah 3.3 juta,"jelas Wan Sukairi.

Sehubungan itu, kata beliau, kegagalan kerajaan negeri tersebut menunjukkan dakwaan PAS bahawa penganjuran kejohanan 'Monsoon Cup' dan pembinaan Taman Tamadun Islam satu pembaziran, adalah benar.

Katanya, pelbagai pihak telah membantah kedua-dua projek itu, yang dilaksanakan pada zaman bekas Menteri Besar Dato' Seri Idris Jusoh dan diteruskan oleh Dato' Ahmad Said kerana menghabskan ratusan juta ringgit wang rakyat Terengganu.

"sejak dari awal pimpinan PAS, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak-pihak lain membantah pembinaan yang membelanjakan ratusan juta ringgit wang rakyat,

"kerajaan negeri yang diterajui oleh Umno Terengganu perlu mengakui, ia adalah projek-projek yang membazir,"tegasnya.

Justeru, dengan pendedahan terbaru itu, beliau menyeru seluruh rakyat Terengganu menyedari bahawa Umno dan Barisan Nasional tidak mampu lagi mentadbir kerajaan negeri dan perlu di tukar pada pilihanraya umum yang akan datang.

Tiada ulasan: