Sabtu, 26 Mac 2011

Kekeliruan jumlah pindaan sebenar Interlok terjawab

Sejumlah 106 pindaan, kesemuanya saranan ahli panel pindaan Interlok edisi murid dikemukakan wakil masyarakat India.



KUALA LUMPUR: Kekeliruaan tentang jumlah pindaan sebenar dalam novel Interlok telah terjawab, kata mantan ahli panel bebas Interlok yang mewakili masyarakat India, Uthaya Sankar SB hari ini.

Beliau menjelaskan sebanyak 106 pindaan akan dibuat ke atas buku Komsas, Interlok edisi murid dengan persetujuan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Uthaya berkata, dari jumlah tersebut, sebanyak 19 pindaan melibatkan sensitiviti masyarakat India, 84 kesalahan bahasa dan fakta manakala enam lagi berkaitan Sasterawan Negara Abdullah Hussain.

Dari 19 pindaan itu, tiga pindaan melibatkan penggunaan kata kasta “Paria”, satu berkaitan pemaparan isteri Maniam, satu berkaitan adegan lembu dan satu lagi melibatkan adegan perkahwinan. Terdapat enam pembetulan manakala baki tujuh lagi melibatkan errata.

Beliau memberitahu bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diarahkan membetulkan kesemua kesalahan bahasa dan fakta dalam mesyuarat panel bebas pada 23 Mac lalu di DBP di sini.

Walau bagaimanapun, secara peribadi Uthaya melahirkan rasa sedih kerana pindaan melibatkan bab cerita masyarakat Melayu dan Cina tidak dikemukakan.

“Sebagai Presiden Kavyan saya berasa sedih kerana pihak yang menyenaraikan “sensitiviti” masyarakat Cina dan Melayu pada 4 Mac lalu menarik balik senarai pindaan mereka,” kata Uthaya ketika taklimat Interlok anjuran MIC di Dewan Tan Sri KR Soma pada pagi tadi.

Seorang lagi ahli panel, G Krishnabahawan memberitahu hadirin bahawa pegawai khas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, P Ravin memberi jaminan bahawa Najib akan membaca edisi pindaan sebelum diedarkan.

Masyarakat Melayu, Cina perlu bantah

Isu pendirian MIC yang tidak menentu turut dipersoal hadirin di dalam sesi taklimat kerana pada peringkat awal, MIC bertegas mahu penggunaan novel ini dihentikan tetapi kemudian akur kepada kehendak Muhyiddin untuk melaksanakan pindaan.

Ketua Pemuda MIC, T Mohan memberitahu hadirin bahawa MIC berjaya dalam isu berhubung kontroversi Interlok.

“Kita berjaya kerana semua bahagian cerita yang tidak menyenangkan masyarakat India telahpun dipinda.

Uthaya mengakui bahawa Presiden MIC, G Palanivel dan timbalannya Datuk Dr S Subramaniam meminta agar buku tersebut tidak digunakan semasa pertemuan dengan Muhyiddin.

Berkenaan isu pendirian partinya yang mahu Interlok edisi murid ditarik balik, Mohan berkata: “Desakan untuk penarikan buku tersebut harus datang daripada masyarakat Melayu dan Cina.”

Usaha menggugurkan Interlok diteruskan

Bagaimanapun pindaan ke atas Interlok yang mengambil kira pandangan masyarakat India tidak memuaskan hati beberapa pihak.

Pengerusi Badan Bertindak Interlok Kebangsaan (Niat), Dato Haji Thasleem Mohamed bertegas dengan pendirian mahu penggunaan Interlok ditarik balik berasaskan surah Al-Quran.

Sehubungan itu beliau melontarkan cabaran kepada pihak tertentu kerana gagal melihat isu ini dari perspektif agama.

“Saya cabar Muhyiddin, ahli parlimen Melayu – Islam dan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk membuktikan bahawa budaya lebih penting berbanding agama.”

Beliau turut mengutarakan pandangan bahawa selaras dengan konsep 1Malaysia apa-apa perkara yang sensitif kepada satu kaum sepatutnya sensitif kepada semua kaum kerana kesemua mereka terdiri daripada rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, Thasleem memberi jaminan bahawa Niat akan meneruskan usahanya sehingga Interlok digugurkan daripada sukatan mata pelajaran.

Ahli Niat, A Rajaretnam turut senada dengan Thasleem berasaskan hujah bahawa pindaan perkataan tidak mengubah intipati watak dalam novel Interlok.

Tiada ulasan: