Isnin, 21 Mac 2011

Karpal: Permohonan pendakwa salah guna proses mahkamah

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan hari ini meminta Mahkamah Tinggi menolak permohonan menyemak keputusan menggugurkan tiga sampel, yang merupakan keterangan penting pendakwaan dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan memerintahkan tertuduh memberi sampel DNAnya, kerana mendakwa ia penyalahgunaan proses mahkamah.

Peguam Karpal Singh berkata permohonan pendakwaan mengikut Seksyen 73 dan 165 Akta Keterangan 1950 itu tidak memperuntukkan kuasa kepada mahkamah bagi mengarahkan seseorang tertuduh memberikan sampel untuk pemprofilan DNA.

Beliau berkata Seksyen 73 merujuk kepada perbandingan tanda tangan, tulisan atau cop mohor beserta barangan lain, yang telah diakui atau dibuktikan, dan mahkamah boleh mengarahkan mana-mana orang untuk menulis sebarang bentuk perkataan bagi membolehkan perbandingan dilakukan.

“Seksyen 73 terpakai untuk cap jari, namun dalam kes ini, pendakwaan beranggapan keterangan mengenai DNA yang dikemukakan telah dibuktikan tetapi ia adalah sebaliknya,” hujah Karpal.

Sementara itu, katanya, Seksyen 165 memperuntukkan kuasa untuk seseorang hakim menyoal atau memerintahkan supaya sesuatu dokumen mengenai sesuatu perkara dikemukakan kepada mahkamah.

“Sehubungan itu, Seksyen 73 dan 165 tidak memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengarahkan seseorang tertuduh menyediakan sampel untuk pemprofilan DNA,” katanya.

Beliau berkata Seksyen 165 mengehadkan campur tangan kehakiman dalam sesuatu perbicaraan, dan permohonan seumpama itu juga tidak pernah dilakukan di mana-mana mahkamah negara Komanwel.

Karpal berkata walaupun Parlimen telah meluluskan Akta Identifikasi DNA 2009, ia belum dikuatkuasakan.

Beliau berkata Seksyen 62 Akta Polis dan Pembuktian Jenayah 1984 pula hanya memberi kuasa kepada polis untuk mengambil sampel bahagian sulit dengan keizinan suspek.

“Seksyen 62 tidak memberikan kuasa kepada mahkamah untuk mengarahkan seseorang tertuduh dalam perbicaraan yang sedang berlangsung supaya memberikan sampel untuk tujuan DNA,” katanya.

Anwar, 63, didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari, 25, di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Karpal juga berkata walaupun mahkamah boleh menyemak keputusannya, ia mesti mempunyai keterangan yang cukup menyakinkan selepas prosiding bicara dalam bicara bagi membolehkan hakim berbuat demikian, namun keadaan itu tidak berlaku dalam kes ini.

Beliau berkata berdasarkan keputusan mahkamah menolak botol air mineral, tuala ‘good morning’ dan berus gigi sebagai keterangan, membuktikan kesemua barang berkenaan diperoleh secara tidak sah serta melalui kaedah yang tidak adil oleh polis.

“Polis cuba mengemukakan keterangan DNA melalui helah dan penipuan,” katanya.

Beliau berkata keterangan Pegawai Penyiasat Superintenden Judy Blacious Pereira turut mengesahkan terdapat ketidakpatuhan terhadap Peraturan Lokap 1953.

Selain itu, Karpal berkata Superintenden Ahmad Faufik Abdullah juga mengesahkan bahawa Anwar tidak diberitahu sebab penahanannya ketika dia ditahan pada 16 Julai 2008 di Segambut.

Dalam hujah balasnya, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden berkata walaupun pembelaan menyatakan permohonan yang dibuat ‘‘jarang’’ dilakukan, namun mahkamah masih boleh mengguna pakai kedua-dua seksyen bagi membenarkan permohonan pendakwaan.

Tiada ulasan: