Rabu, 16 Mac 2011

Izzah : Perjelas kesan radiasi kepada rakyat

SELANGOR KINI


KUALA LUMPUR – Ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan pusat memberikan penjelasan terperinci kepada rakyat berhubung kesan letupan ketiga di loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi, Jepun.

Menurut Izzah, penjelasan mengenainya perlu kerana rata-rata rakyat di negara itu turut merasa bimbang akan kesan radiasi yang dihebah-hebahkan.

Izzah juga mendesak kerajaan Malaysia supaya menghentikan segera pembinaan pusat pemprosesan tanah jarang di Gebeng, Pahang yang juga boleh memberi implikasi negatif ke atas Malaysia.

” Apakah peratusan kemungkinan radiasi dari loji tenaga nuklear ini akan tiba di Malaysia, berdasarkan senario “full meltdown”?

“Pada masa yang sama, Kerajaan Pusat wajib menghentikan dahulu sebarang perancangan untuk membina loji tenaga nuklear mahupun pusat pemprosesan tanah jarang (rare earth refinery) di negara ini,” tulis Izzah dalam satu kenyataan media hari ini.

Tahap radiasi dikatakan meningkat 400 kali ganda hari ini di utara ibu negara Jepun, Tokyo selepas gempa bumi memusnahkan loji kuasa nuklear di negara matahari terbit itu.

Mengikut Reuters angin perlahan yang bertiup dari loji nuklear Fukushima Daiichi akan memberi kesan ke atas Kyoto termasuk Tokyo.

Tahap radiasi kini dilaporkan pada tahap yang boleh mengancam kesihatan dan penduduk yang berada pada radius 30km daripada loji nuklear dinasihatkan berada di dalam rumah.

Berita mengenai kesan radiasi terus menggusarkan rakyat di seluruh negara namun paling penting kata Izzah, adakah kerajaan pusat mempunyai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan akibat dari pencemaran nuklear yang dilaporkan.

“Apakah langkah berjaga-jaga yang harus diambil rakyat Malaysia? Adakah Kerajaan Pusat benar-benar bersedia menghadapi situasi pencemaran nuklear yang mungkin terjadi?,” tulisnya lagi.

“Oleh itu, saya berharap agar pihak Kerajaan Pusat bertindak lebih pantas tetapi tepat dalam menerangkan situasi sebenar di Jepun serta apakah akibat yang mungkin dialami rakyat Malaysia di Semenanjung, Sabah, dan Sarawak,”katanya.

Tiada ulasan: