Khamis, 10 Mac 2011

Isu fatwa: Nik Aziz kurang senang tuduhan Harussani



KUALA LUMPUR — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kurang senang dengan tulisan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria ekoran penyataan “undi PAS masuk syurga”, kata Setiausaha Akbarnya Ahmad Fadhli Shaari.

Selain Nik Aziz (gambar), jelas Ahmad Fadhli, barisan kepimpinan negeri Kelantan turut melahirkan rasa kurang senang apabila Harussani mengaitkan Menteri Besar Kelantan itu dengan kenyataan “undi PAS masuk syurga.”

Ekoran tulisan Harussani dalam Mingguan Malaysia Ahad lalu, pejabat Menteri Besar Kelantan telah menghantar surat rasmi memohon penjelasan daripada Mufti Perak itu.

Bagaimanapun, menurut Ahmad Fadhli sehingga kini Harussani masih belum membalas surat rasmi tersebut yang telah dihantar.

“Kita minta surat untuk mohon penjelasan mengenai tulisan beliau (Harussani) yang kata Nik Aziz cakap ‘undi PAS masuk syurga’, kita bukan nak jumpa beliau.

“Kita telah hantar surat rasmi untuk mohon penjelasan, kalau beliau tidak mahu jelaskan kami juga mahu surat rasmi daripada beliau... kita hantar melalui surat, jadi kita mahu beliau balas juga melalui surat... bila kita sudah terima surat daripada beliau baru kita akan keluarkan kenyataan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kata beliau, sebarang kenyataan terbaru akan dikeluarkan sebaik sahaja menerima surat balas daripada Harussani.

“Apa-apa kenyataan yang akan dikeluarkan nanti berdasarkan surat dari beliau tapi setakat hari ini kita masih belum menerima surat balas dan kita masih menunggu surat balas dari Mufti Perak.

“Kita di sini kurang senang dengan tulisan Mufti Perak yang mengaitkan Menteri Besar dengan ‘undi PAS masuk syurga’, jadi kita harap beliau respons surat yang kita hantar,” katanya.

The Malaysian Insider semalam memetik Harussani yang menegaskan beliau tidak perlu membuat penjelasan kepada Nik Aziz berhubung tulisan responsnya menyentuh isu “undi PAS masuk syurga”.

Ini kerana, jelas Harussani, sekiranya penjelasan diberikan kepada Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan itu akan tetap mengeluarkan kenyaataan yang bercanggah dengan kehendak agama Islam.

Selain itu, Harussani percaya Nik Aziz akan tetap menggunakan hukum agama dalam politik yang boleh mengelirukan umat Islam.

Tiada ulasan: