Khamis, 17 Mac 2011

Interlok: MIC tunggu kenyataan rasmi sebelum umum pendirian

KUALA LUMPUR — MIC mahu menunggu kenyataan rasmi Kementerian Pelajaran berhubung kontroversi terbaru berkaitan novel Interlok, ekoran tindakan tiga wakil kaum India menarik diri daripada panel bebas semalam, sebelum membuat pendirian dan reaksi susulan.

Komponen Barisan Nasional itu dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi hari ini ataupun selepas mesyuarat Kabinet esok.

Ini kali kedua wakil dilantik MIC melahirkan rasa tidak puas hati di akhir perundingan dan perbincangan menyelesaikan isu berkaitan dengan novel itu.

Kali pertama ialah ketika jawatankuasa awal dibentuk untuk mencari penyelesaian awal Januari lalu dan ia juga berakhir dengan kontroversi.

“Presiden MIC menunggu kenyataan rasmi daripada Kementerian Pelajaran, kami tidak mahu bertindak melulu,” kata sumber pejabat Presiden MIC Datuk G. Palanivel malam tadi.

Sumber itu juga berkata ketiga-tiga wakil kaum India yang dilantik menganggotai panel bebas pindaan Interlok sudah memaklumkan perkembangan mutakhir mengenai isu tersebut kepada ketua MIC itu semalam.

“Presiden MIC juga telah berkomunikasi dengan mereka dan sudah memperoleh laporan tentang apa yang sebenarnya telah berlaku, tetapi mahu tunggu kenyataan rasmi Menteri Pelajaran sebelum memberikan reaksi,” kata sumber itu lagi.

Kontroversi berkaitan novel Interlok berhadapan dengan isu baru semalam apabila ketiga-tiga wakil kaum India dalam panel bebas yang mengkaji pindaan novel kontroversi Interlok menarik diri selepas satu pertemuan dengan timbalan perdana menteri sebagai tanda “protes.”

Ketiga-tiga mereka memutuskan demikian selepas pertemuan secara mengejut yang diadakan di bangunan Parlimen petang semalam, yang sebahagiannya dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri, meminta agar berkompromi dan mengurangkan jumlah pindaan kepada perkataan “paria” sahaja.

Panel bebas yang mengadakan mesyuarat akhir 4 Mac lalu sebulat suara bersetuju agar kira-kira 100 pindaan dibuat.

Laporan itu kemudian dikemukakan kepada kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran untuk tindakan susulan.

Bagaimanapun menurut salah seorang anggota panel itu, Uthaya Sankar, pihaknya diminta agar bertolak ansur dengan tidak membuat terlalu banyak pindaan.

Bagaimanapun Uthaya berkata, wakil-wakil kaum India berpendirian ia bertentangan dengan apa yang telah dipersetujui secara sebulat suara pada mesyuarat terakhir panel bebas 4 Mac lalu.
Panel itu telah mengadakan tiga mesyuarat termasuk terakhir pada 4 Mac.

“Kami telah secara sebulat suara bersetuju dengan kira-kira 100 pindaan, dan tidak wajar dibuat pindaan ke atas pindaan-pindaan yang telah dipersetujui,” kata beliau sambil menambah, jika ia dibuat, ia satu bentuk tindakan mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh MIC dan masyarakat India.

“Kami juga tidak mahu bertanggungjawab apa yang berlaku selepas pindaan awal dipersetujui,” kaatanya.

Nama-nama wakil kaum India itu ke dalam panel bebas tersebut disyorkan oleh MIC bulan lalu.

Uthaya berkata keputusan menarik diri itu telah dimaklumkan kepada kepimpinan MIC.

Selain Uthaya, dua wakil kaum India ialah Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr N.S Rajendran dan bekas pegawai Kementerian Pelajaran, G Krishnabahawan.

Panel itu dipengerusikan oleh Prof Datuk Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang sekarang berada di luar negara.

Anggota lain panel itu ialah Datin Siti Saroja Basri, isteri kepada Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain penulis novel berkenaan, Prof Madya Dr Lim Swee Tin dari Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof Datuk Zainal Abidin Borhan.

Zainal juga tidak hadir pertemuan semalam.

Kelmarin, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pindaan dalam novel Interlok menunjukkan kemajuan menggalakkan walaupun beliau belum menerima butiran terperinci daripada panel bebas yang diketuai oleh Shamsul Amri.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selepas menerima butiran terperinci terhadap bentuk pindaan yang dibuat dalam beberapa hari lagi, perkara itu akan dimaklumkan kepada pemimpin masyarakat India bagi memastikan semua pihak berpuas hati dan menerimanya sebulat suara.

“Kita akan beri peluang kepada wakil daripada masyarakat India untuk maklumkan kepada pemimpin supaya apa yang diputuskan itu secara konsesi dapat diterima oleh mereka. Saya juga akan membawa perkara itu ke Kabinet sebab perkara ini sudah sampai ke tahap nasional,” katanya.

Pada 27 Januari lepas, Muhyiddin berkata novel Interlok, yang mencetuskan kontroversi kerana mengandungi beberapa perkataan yang tidak disenangai masyarakat India, akan terus digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid Tingkatan Lima di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, kerajaan telah bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India dalam novel itu.

Dalam pada itu, Shamsul Amri yang juga Pengarah Institut Kajian Etnik UKM ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata beliau tidak tahu perkembangan terbaru itu kerana bertugas di luar negara.

Tiada ulasan: